Pakatan perlu fikir semula pendekatannya berhubung Melayu, kata penganalisis 


Chan Kok Leong

Pakatan Harapan kini berdepan cabaran getir mengekalkan sokongan orang Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2019.

PAKATAN Harapan perlu memikirkan semula pendekatannya berhubung orang Melayu supaya golongan itu lebih yakin terhadap gabungan politik pemerintah, kata penganalisis.

“Orang Melayu tidak mengundi Pakatan kerana mereka melihat kerajaan persekutuan tidak stabil dan tidak mampu menjaga kepentingan mereka,” kata Dr Awang Azman Awang Pawi kepada The Malaysian Insight.

Pengendalian yang teruk berhubung isu ICERD dan kuil di Seafield serta peruntukan belanjawan yang lebih rendah kepada orang Melayu di luar bandar telah mengecewakan orang Melayu di luar bandar,” kata timbalan pengarah Fakulti Pengajian Melayu Universiti Malaya itu.

Walaupun begitu, Awang Azman berkata Pakatan tidak harus panik dan turut terjerumus masuk ke dalam perlumbaan mengenai Melayu-Islam dengan Barisan Nasional yang kini bekerjasama dengan PAS.

“Kerajaan hanya perlu mengorientasi semula pendekatan mereka mengenai orang Melayu dengan mencari dasar-dasar yang boleh memberi kesan kepada mereka dan membuat keputusan yang tidak berubah-ubah,” kata Awang Azman, yang juga merupakan ahli di Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCedel).

“Pakatan tidak perlu masuk ke dalam perlumbaan Melayu-Islam BN.”

Walaupun menjadi kerajaan persekutuan, Pakatan kalah pertama kali dalam pilihan raya kecil sejak PRU14 pada hari Sabtu lalu.

Calon Pakatan sebanyak tiga kali di Cameron Highlands yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Teluk Intan M. Manogaran kalah kepada pencabar baharu daripada BN Ramli Mohd Nor dengan margin yang lebih besar.

Walaupun Cameron Highlands dianggap sebagai kerusi tradisional Barisan Nasional, Pakatan tidak dapat menembusi kerusi di bahagian Jelai. Jelai adalah kawasan yang terdiri daripada 64% orang Melayu dan 34% Orang Asli.

Sewaktu kempen pilihan raya, pengundi Felda memberitahu The Malaysian Insight bahawa isu-isu ekonomi, kaum dan agama adalah antara keprihatinan mereka.

Pengarah Ilham Centre Azlan Zainal berkata kerjasama Umno-PAS memberi keuntungan kepada BN di mana ahli-ahli parti Islam itu kini memilih untuk mengundi musuh tradisi mereka.

“Undi Melayu kepada Pakatan sangat rapuh sekarang dan ini akan membantu Umno mewajarkan mengapa mereka perlu terus bekerja dengan PAS.

“Penggunaan retorik Melayu-Islam oleh Umno-PAS akan memberi tekanan kepada Pakatan jika mereka mahu menarik lebih banyak sokongan daripada pengundi Melayu,” kata Azlan.

Beliau berkata pertembungan bank undi di antara DAP (sokongan bukan Melayu) dan Umno-PAS (sokongan Melayu) akan terus berlaku.

“Pengundi atas pagar akan mula menunjukkan bantahan mereka terhadap Pakatan, terutamanya pengundi muda dalam saluran 4-7 ekoran masalah ekonomi, pekerjaan dan kos sara hidup.

Beliau berkata BN dapat memperoleh pengundi muda dan Felda kerana kegagalan Pakatan menangani isu-isu mengenai kaum dan kos sara hidup.

“Sekiranya ini berterusan, Pakatan akan terdedah (dengan serangan),” katanya lagi.

Sementara itu, Khairul Ariffin dari Institut Darul Ehsan berkata parti-parti Melayu dalam Pakatan perlu meningkatkan sokongan pengundi Melayu.

Beliau berkata, walaupun Pakatan telah memulakan beberapa pembaharuan institusi, inisiatif tersebut tidak sepenuhnya dihargai oleh orang Melayu luar bandar dan akan mengambil masa untuk difahami.

“Kebimbangan utama mereka masih menjadi isu ekonomi,” kata pengurus penyelidikan itu.

Pengundi juga tidak lagi ghairah dengan kesalahan yang dilakukan oleh Najib Razak kerana mereka lebih prihatin terhadap prestasi kerajaan selepas mengalahkan BN, kata Azlan.

“Isu-isu seperti kleptokrasi, rasuah dan 1MDB, yang berfungsi memenangkan Pakatan semasa pilihan raya lalu, kini digantikan oleh janji manifesto yang tidak dipenuhi seperti memansuhkan tol, pinjaman PTPTN, harga komoditi dan isu kaum dan agama.

“Sudah tiba masanya untuk kerajaan bekerja dengan cemerlang,” katanya. – 27 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen