EKSPORT ikan dan sayur-sayuran perlu dihentikan segera bagi menurunkan harga makanan yang naik lebih 100% bagi sesetengah beberapa barangan, kata Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini.
CAP merayu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) agar mengambil langkah ini untuk menampung kekurangan dalam negara yang dijangka berlaku pada musim tengkujuh dan menyambung semula mengeksport selepas tempoh cuaca buruk berakhir.
“Harga sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan yang meningkat sehingga 300% sejak seminggu lalu ... disebabkan musim monsun yang berlaku dalam beberapa minggu lalu.
“Bagi mengatasi kebimbangan kekurangan semasa musim tengkujuh, Malaysia harus menghentikan pengeksportan ikan dan sayur-sayuran ke negara lain dan meneruskan larangan bagi memenuhi permintaan dalam negeri sehingga musim tengkujuh berakhir,” kata Presiden CAP SM Mohamed Idris dalam satu kenyataan.
Antara barangan makanan yang menyaksikan kenaikan harga yang besar adalah bendi yang naik sebanyak 100%, terung (150%), parsli (265%) dan bawang (300%).
The Malaysian Insight melaporkan minggu lepas antara faktor harga makanan negara yang tinggi, termasuk monopoli ke atas import makanan dan bekalan domestik, selain ringgit yang lemah.
Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi September meningkat sebanyak 4.3% berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kadar tertinggi dalam tempoh enam bulan.
Harga bahan api juga meningkat, yang menyaksikan pada Khamis bagi petrol RON 95 naik 7 sen kepada RM2.38 seliter, RON 97 naik 6 sen kepada RM2.66 sen seliter dan diesel naik 5 sen kepada RM2 .25 seliter.
Harga minyak ditetapkan setiap minggu.
CAP juga berkata bahagian penguatkuasaan KPDNKK perlu menyiasat kenaikan harga, manakala Fama perlu mengawal lebih baik pemasaran dan pengedaran sayur-sayuran di seluruh negara.
“Kawalan sedemikian penting kerana akses pengguna untuk mendapatkan diet yang betul terpaksa dikompromi berikutan kos makanan yang tinggi,” katanya. – 20 November, 2017.
Komen