KERAJAAN tidak perlu perkenal prosedur operasi standard (SOP) baharu mengenai pembiayaan lawatan oleh syarikat swasta, kata Muhyiddin Yassin, susulan polemik lawatan pegawai tinggi polis ke Turki.
Menteri dalam negeri berkata tiada isu dengan lawatan itu kerana beliau sendiri yang meluluskannya.
“Tidak perlu ada SOP baharu. Lawatan ke Istanbul itu diluluskan sendiri oleh saya. Saya tidak sembunyikan hal itu.
“Ketua polis negara pada waktu itu menulis kepada saya (meminta) kebenaran dan ia perkara normal,” katanya pada sidang media selepas penamaan calon pilihan raya kecil DUN Semenyih di Kajang, hari ini.
Pendedahan mengenai lawatan pegawai tinggi polis ke Turki itu pada mulanya didedahkan Sarawak Report, sebelum terbongkar yang ia ditaja syarikat perjudian, Da Ma Cai dengan kelulusan Lembaga Totalisator bawah Kementerian Kewangan.
Malah, Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga mempertahankan keputusan kerajaan itu kerana ia bukan dana kerajaan dan diluluskan Lembaga Totalisator.
Muhyiddin sekali lagi mengulangi pendirian dalam isu terbabit, menegaskan yang tidak wujud konflik kepentingan dalam kelulusan projek itu.
“Dalam kes ini saya lihat data dan pastikan tidak ada mana- mana pihak yang mempunyai konflik kepentingan dalam penajaan.
“Bagi saya tidak ada percanggahan atau keputusan yang saya buat tidak tepat.Saya tidak fikir ada keperluan untuk buat SOP baru sebab saya dah 40 tahun lebih dalam kerajaan saya tahu apa saya buat.”
Isu itu juga sudah “dibersihkan” SPRM yang menyifatkannya tak salah kerana pegawai berkenaan menggunakan perbelanjaan sendiri untuk membawa isteri atau keluarga mereka.
Hari ini, bekas ketua polis negara Musa Hassan turut memberi pandangan bahawa lawatan itu tidak salah kerana diluluskan kerajaan, walaupun beliau turut berpendapat ia tidak wajar dilakukan kerana ditaja syarikat swasta. – 16 Februari, 2019.
Komen