ROMBONGAN pegawai atasan polis ke Turki tidak melanggar undang-undang dan tidak melibatkan salah laku, kata agensi anti rasuah, namun tidak pula membersihkan rombongan itu daripada persepsi masyarakat.
Persepsi timbul kerana rombongan diketuai Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun yang akan bersara tidak lama lagi, serta sekurang-kurangnya dua pegawai tinggi yang juga akan bersara.
Rombongan lawatan sambil belajar itu juga dianggap besar dan melibatkan bahagian yang tidak ada kaitan dengan jenayah perjudian, kata pengkritik.
“Lebih sesuai jika pegawainya yang menghadiri kursus seperti ini kerana lebih bermanfaat untuk tugas penguatkuasaan,” kata sumber di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada The Malaysian Insight.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim mengesahkan empat pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia akan bersara wajib secara berperingkat mulai bulan depan, termasuk beliau sendiri dan Fuzi.
Dua lagi pegawai tinggi iaitu Pengarah Siasatan Jenayah Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Mohmad Salleh juga antara yang menyertai lawatan ke Turki minggu lalu, untuk mempelajari usaha negara itu membanteras judi dalam talian.
Lawatan sambil belajar itu ditaja oleh syarikat judi Da Ma Cai dan diluluskan Lembaga Totalisator Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan. Namun isteri dan anak pegawai tinggi polis yang menyertai rombongan membiayai sendiri perjalanan mereka.
“Disebabkan itu mereka berani (bawa ahli keluarga). Tiada salah laku dalam isu ini,” kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan Fuzi membawa anak perempuannya bersama manakala Salleh membawa isteri. Kedua-dua mereka membiayai perbelanjaan anak dan isteri masing-masing.
“Tidak salah untuk Da Ma Cai menaja mereka kerana ia adalah sebahagian daripada sumbangan mereka kepada kerajaan,” tambahnya.
“Malah, rombongan mereka juga diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan. Pemergian mereka juga diketahui Menteri Kewangan namun ia tidak menjadi isu kerana tidak membabitkan dana kerajaan,” kata sumber.
Kelmarin, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan tidak mengeluarkan satu sen pun untuk rombongan itu sebaliknya kos tersebut datang dari syarikat ramalan nombor Da Ma Cai, dan diluluskan oleh Lembaga Totalisator Malaysia.
Sumber menegaskan lawatan pegawai tinggi polis ke Turki itu menimbulkan persepsi negatif kerana mereka yang menyertainya akan bersara tidak lama lagi, dan ada pihak lain yang lebih sesuai untuk terlibat tetapi tidak dilibatkan.
Sumber dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) pula berkata bahagian itu mempunyai pakar judi yang bertugas di ibu pejabat polis daerah, kontinjen mahupun di ibu pejabat di Bukit Aman.
“Pakar judi yang biasa turun padang untuk membuat siasatan ke atas modus operandi perjudian terkini dan mengatur operasi. Sepatutnya mereka yang dihantar ke kursus,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sumber mengakui Turki memang antara negara yang wajar dicontohi dalam usaha membanteras judi dalam talian, yang dilakukan sejak 2006. Turki mempunyai undang-undang anti judi yang ketat dan mengharamkan kasino sejak 1998, katanya.
Namun beliau hairan kenapa lawatan seperti itu tidak melibatkan mereka yang sepatutnya sebaliknya disertai pegawai tertinggi yang turut membawa isteri.
“Biar mereka yang betul-betul pakar dalam bidang ini yang pergi kursus seperti ini. Banyak yang boleh belajar dari Turki itu,” katanya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengulangi kenyataannya beliau meluluskan lawatan Fuzi ke Turki, dan beliau berpendapat tiada apa yang salah dengannya.
Muhyiddin bagaimanapun tidak tahu berapa pegawai kanan polis yang menyertai lawatan itu serta aturan perjalanan mereka.
“Saya tidak fikir ada kesalahan apa-apa. Kalau ditaja oleh swasta saya tidak akan luluskan. Tetapi ini oleh ’board’ dan ‘board’ ialah (di bawah) Kementerian Kewangan.
“Jadi bagi saya tidak ada isu langsung. Dia nak hantar berapa orang itu bukan “details” yang saya hendak tengok. Siapa hendak pergi saya pun tidak pernah tanya dan mereka pun pergi ikut rombongan yang dicadangkan,” katanya, seperti dipetik Bernama semalam.
Kunjungan Fuzi dan rombongannya ke Istanbul didedahkan portal Sarawak Report pada Ahad, yang kemudian turut menyiarkan gambar-gambar yang menunjukkan rombongan itu seperti bercuti.
Beberapa gambar rombongan itu bersiar-siar di Istanbul dimuat naik ke Facebook oleh agensi pelancongan yang mengendalikan kunjungan mereka di Turki. Ia kemudian dipadamkan selepas laman web Sarawak Report mempersoalkan apakah lawatan itu menggunakan dana rakyat.
Sarawak Report melaporkan Fuzi dan rombongan menginap di Hotel Sura Hagia Sophia bertaraf empat bintang di Sultanahmet di Istanbul.
Sarawak Report menganggarkan kunjungan itu menelan belanja lebih RM250,000 untuk tiket penerbangan dan hampir RM60,000 untuk penginapan, tidak termasuk perbelanjaan lain.– 15 Februari, 2019.
Komen