Lawatan pegawai tinggi polis ke Turki bukan kesalahan, kata Muhyiddin 


Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata ia ditaja oleh Lembaga Totalisator Malaysia, yang merupakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan jadi ia bukan satu kesalahan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 Februari, 2019

LAWATAN Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun bersama beberapa pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Turki bukan menjadi satu kesalahan kerana ia bukan ditaja secara langsung oleh syarikat swasta.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata lawatan itu ditaja oleh Lembaga Totalisator Malaysia, yang merupakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan.

“Saya tidak fikir ada kesalahan apa-apa. Kalau ditaja oleh swasta saya tidak akan luluskan. Tetapi ini oleh ’board’ dan ‘board’ ialah (di bawah) Kementerian Kewangan.

“Jadi bagi saya tidak ada isu langsung. Dia nak hantar berapa orang itu bukan “details” yang saya hendak tengok. Siapa hendak pergi saya pun tidak pernah tanya dan mereka pun pergi ikut rombongan yang  dicadangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam yang menyatakan lawatan itu tidak diluluskan oleh kementeriannya tetapi oleh Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia, yang mana syarikat itu mendapat sumber kewangan dari syarikat nombor ramalan (Da ma cai).

Muhyiddin berkata isu mengenai dari mana lembaga berkenaan memperoleh sumber kewangan merupakan isu yang berbeza.

“Macam kes ini, ketua polis negara bawa surat nyatakan satu persatu bahawa tujuan pergi sana adalah sebab itu, ini dan lain-lain perkara dan pihak yang akan menaja ialah dalam kes ini daripada Lembaga Totalisator Malaysia. Datang dari mana-mana (sumber kewangan) itu soal lain,” katanya. – Bernama, 14 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen