Jangan salahkan polis lawat Turki kalau kerajaan luluskan, kata Musa Hassan


Polis mendapat kecaman pelbagai pihak selepas terdedah rombongan pegawai kanan polis termasuk Ketua Polis Negara Fuzi Harun ke Turki ditaja syarikat perjudian. – Gambar AFP, 16 Februari, 2019.

POLIS tidak boleh dipersalahkan menerima tajaan syarikat judi kerana ia diluluskan kerajaan, kata bekas ketua polis negara Musa Hassan.

Beliau bagaimanapun berpendapat adalah tidak wajar polis menerima tajaan daripada syarikat swasta yang menjalankan aktiviti perjudian.

Musa mengulas rombongan lawatan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun bersama pegawai tinggi pasukan polis ke Istanbul, Turki minggu lalu, yang ditaja syarikat perjudian Da Ma Cai.

“Kalau kementerian tak luluskan tapi Mohamad Fuzi buat urusan ini maka beliau silap. Oleh kerana kelulusan diterima kementerian dalam negeri dan kementerian kewangan polis tak boleh dipersalahkan,” kata Musa, seperti dipetik Sinar Online, hari ini.

“Sebaik-baiknya perkara ini tidak berlaku dan pada pandangan saya jangan terima tajaan sebegitu,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata beliau meluluskan lawatan Fuzi kerana ia bertujuan mempelajari usaha membanteras perjudian di Turki. Menteri Kewangan Lim Guan Eng pula menjelaskan tajaan lawatan itu diluluskan Lembaga Totalisator Malaysia semasa pentadbiran Barisan Nasional pada 2017.

Bagaimanapun Musa dipetik juga berkata, semasa beliau mengetuai pasukan polis, kerajaan pada masa itu tidak membenarkan tajaan sedemikian berlaku.

Musa menjadi Ketua Polis Negara antara 2006 hingga 2010.

Menurut Musa, mana-mana syarikat swasta yang ingin membuat tajaan kepada agensi penguatkuasaan itu juga perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlebih dahulu.

“Kalau ada tajaan pun kena maklum kepada menteri dalam negeri. Jadi pihak yang nak taja apa-apa kepada polis perlu minta kebenaran terlebih dahulu dengan kementerian, kalau dibenarkan bagi tujuan tertentu baru polis boleh terima,” katanya.

Sementara itu, Fuzi dipetik Sinar Harian berkata pihaknya kesal lawatan kerja polis itu dipolemikkan.

Beliau berkata, lawatan itu tugas rasmi tetapi disensasikan pihak yang tidak tahu peranan Da Ma Cai.

Tambahnya, saban tahun Lembaga Totalisator Malaysia menawarkan tajaan kepada pihak polis kerana membantu menangani sindiket haram dan bookie.

“Memang tiap-tiap tahun mereka tawar kepada kita sebab kita bantu mereka dalam usaha menangani sindiket haram, bookie, dan lain-lain,” kata Fuzi, seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata, lawatan itu juga bertujuan mengukuhkan hubungan polis Turki dan Malaysia.

Malah, lawatan berkenaan juga membincangkan kaedah menangani judi atas talian dan judi haram, termasuk kelab lumba kuda dan jenayah rentas sempadan seperti Macau Scam dan Love Scam, serta ancaman militan Daesh dan penggunaan teknologi.

Kunjungan Fuzi dan rombongannya ke Istanbul didedahkan portal Sarawak Report pada Ahad, yang kemudian turut menyiarkan gambar-gambar yang menunjukkan rombongan itu seperti bercuti. – 16 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen