KEPUTUSANNYA bukanlah penentu kuasa di negeri mahupun persekutuan, tetapi Pilihan Raya Kecil Semenyih akan jadi penilaian sentimen rakyat kepada Pakatan Harapan selepas berkuasa Mei tahun lepas.
Parti pembangkang negara, terutamanya Umno dan PAS, juga melihat PRK itu sebagai peluang membuktikan kerjasama mereka mula mendapat momentum selepas menang di Cameron Highlands sebelum ini.
Jika Umno dan PAS mampu menang di Semenyih dengan kerjasama mereka, ia akan membuktikan kedua-dua parti itu boleh menggerakkan sokongan tradisional mereka- masyarakat luar bandar, kelas pekerja- untuk menarik kumpulan menengah Melayu Islam.
Kejayaan Semenyih juga akan membuktikan yang kerjasama Umno-PAS ada peluang baik untuk mengalahkan PH dan menakluk semula Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
Pilihan raya itu juga akan jadi medan ujian untuk PAS- yang sekarang adalah pembangkang kedua terbesar- sama ada boleh terus mengekalkan sokongan akar umbi selepas terheret dalam skandal memalukan, didakwa menerima RM90 juta daripada Umno sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Penganalisis politik Profesor Dr Redzuan Othman menyifatkan PRK itu adalah soal kebanggaan untuk semua parti terlibat.
“Parti komponen PH, Bersatu adalah yang termuda dalam pakatan. Mereka perlu buktikan yang mereka boleh pertahankan kerusi itu. Mereka akan berdepan pilhan raya kecil pertama mereka sejak PRU14.

“Menteri Besar Selangor Amirudin Saari juga mahu membuktikan yang beliau boleh lakukan ‘double hatrick’ dengan mempertahankan Semenyih,” kata Redzuan yang merupakan timbalan pengerusi badan pemikir Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE).
Sejak menjadi menteri besar, Amirdun membantu PH menang di PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.
Undi PAS jadi undi Umno
Buat masa sekarang, PH mengawal hampir sepenuhnya Dewan Undangan Negeri Selangor dengan memegang 51 daripada 56 kerusi- jumlah terbanyak diperolehinya sejak mengambil alih negeri pada PRU12 diadakan 2008. Kekalahan di Semenyih- jika berlaku- tidak memberi kesan kepada kemampuan kerajaan negeri untuk meluluskan undang-undang baharu atau menjejaskan pentadbiran.
Menurut kajian IDE sendiri, PH hanya ada peluang tipis mengekalkan kerusi Semenyih.
Malah, pada PRU14 lalu, PH juga berdepan lawan yang sama- Umno dan Parti Sosialis Malaysia (PSM)- dan masih mampu menang dengan majoriti 8,964.
Setakat hari ini, PH, Umno, PSM dan seorang calon bebas sudah mengumumkan akan bertanding di kerusi majoriti Melayu yang mempunyai jumlah pengundi seramai 53,257 orang itu.
Umno, kata Redzuan, pada masa sekarang sangat teruja selepas berjaya mengekang kemaraan kemenangan PH dalam siri PRK selepas PRU14, apabila menang di Cameron Highlands pada 27 Januari lalu.
Sebelum Cameron Highlands, PH menang semua empat lagi PRK – Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson.
Malah, Umno turut mengisytiharkan kejayaan di Cameron Highlands adalah pemula kebangkitan semula parti nasionalis Melayu itu selepas disingkir dari Putrajaya pada PRU14 dan hilang 14 ahli Parlimen dan berpuluh Adun yang lompat parti.

Manakala, pakar strategi PH Dr Ong Kian Ming pula mendedahkan di Cameron Highlands, Umno berupaya mengubah semua undi diterima PAS pada PRU14 kepadanya untuk menang dengan majoriti 3,238.
Untuk menang di Semenyih, Umno memerlukan semua 14,464 undi yang diraihnya sebelum ini dan 6,966 undi milik PAS. Ia akan membolehkan ia mendapat 21,460 undi berbanding 23,428 diterima PH pada PRU14. Selain itu, ia juga memerlukan lebih 1,000 undi yang sebelum ini diterima PSM atau PH untuk menjamin kemenangannya.
Tetapi, sumber PH mengatakan yang tidak seperti penyokong PAS di Cameron Highlands yang merupakan golongan luar bandar, penyokong PAS di Semenyih adalah kelompok menengah Melayu bandar yang mempunyai kesedaran politik lebih tinggi.
Tidak dapat dipastikan sama ada parti Islam itu boleh meraih sokongan mereka kerana skandal parti Islam itu yang didakwa menerima duit Umno sedang hebat dibincangkan sekarang.
Titik kelemahan PH di Semenyih adalah soal pengurusan ekonomi dan ketidakmampuannya mengekang peningkatan kos sara hidup, janjinya dahulu yang membantu mereka menang pada PRU14. Kajian IDE mendapati dua isu ini adalah dua isu utama jadi perhatian rakyat.
Semenyih berbeza daripada tiga PRK sebelumnya yang berlaku di Selangor, kerana pilihan raya kecil sebelum ini berlaku ketika iPH baharu berkuasa di Putrajaya dan sentimen baik kepada PH masih tinggi, kata Redzuan.
PRK Semenyih diadakan sembilan bulan selepas PRU14, dan rakyat sudah mula bising mendakwa PH tidak melunaskan sebahagian janji pilihan rayanya. – 16 Februari, 2019.
Komen