KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands adalah penting kerana ia akan menjadi titik tolak kebangkitan gabungan itu, kata bekas pengerusinya Najib Razak.
Najib berkata, tindakan MIC memberikan laluan kepada calon daripada kalangan masyarakat Orang Asli membuktikan BN tidak lagi terikat dengan tradisi lama.
“Inilah pilihan raya yang akan menjadi titik permulaan kebangkitan semula BN,” katanya ketika berkempen di Pos Mansun hari ini.
“Kita berterima kasih kepada MIC kerana bertolak ansur dengan kita. Ini kerana dia (MIC) nampak ada anak tempatan yang saya anggap sebagai permata. Inilah pemimpin Orang Asli yang ada kelulusan tinggi.”
Menurut bekas presiden Umno itu, pemilihan Ramli Mohd Noor sebagai calon BN adalah tepat dan berpeluang untuk mencipta sejarah baharu politik Malaysia.
“Selama ini senator Orang Asli ada tetapi sudah begitu lama kita mencari-cari seorang tokoh yang boleh duduk di Dewan Rakyat menyuarakan soal kepentingan masyarakat Orang Asli.
“Hari ini jangan lepaskan peluang, inilah orang yang akan mewakili darah daging tuan puan di sini,” ujarnya.
“DAP tidak faham hasrat Orang Asli,” tambahnya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu, BN tewas buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya negara ini.
Daripada empat PRK sejak PRU14, BN bertanding hanya di Sungai Kandis tetapi kalah.
BN tidak bertanding dua lagi PRK iaitu DUN Seri Setia dan Parlimen Port Dickson, manakala dalam PRK Balakong komponen BN iaitu MCA bertanding menggunakan lambang parti sendiri. – 18 Januari, 2019.
Komen