PAKATAN Harapan (PH) tidak boleh mengandaikan kedudukannya sebagai kerajaan persekutuan akan menarik pengundi menyokongnya pada pilihan raya, kata pemimpin DAP Dr Ong Kian Ming, menyentuh mengenai peningkatan undi diperoleh Barisan Nasional (BN) dalam kalangan Melayu dalam PRK Cameron Highlands, baru-baru ini.
Menganalisis keputusan PRK pada Sabtu lalu, Ong yang juga penolong pengarah pendidikan politik DAP berkata PH perlu bekerja lebih keras dan lebih sistematik untuk memenangi pengundi berkenaan.
“Kita ada empat tahun lagi dan perlu mengambil pengajaran daripada PRK ini.
“Hanya kerana PH berkuasa di peringkat persekutuan, kita tidak boleh andaikan akan berlaku peralihan semula jadi sokongan terhadap kerajaan persekutuan dalam kalangan kumpulan berkenaan.
“Ini termasuk masyarakat Orang Asli dan peneroka Felda, dua kumpulan pengundi paling penting di Cameron Higlands,” kata ahli Parlimen Bangi yang juga timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu dalam satu kenyataan hari ini.
Satu-satunya hikmah untuk PH dalam PRK itu ialah membuka jalan dalam kalangan pengundi Orang Asli.
“PH dapat menaikkan sokongannya dalam kalangan Orang Asli di stesen mengundi majoriti masyarakat itu sebanyak 11.3% tetapi ia masih jauh ketinggalan daripada 30-40% sokongan diperlukan PH untuk berpeluang memenangi kerusi itu,” kata Ong.
Katanya, purata pengundi keluar mengundi di pusat mengundi dalam kalangan Cina, India, Melayu dan bercampur menurun, tetapi pusat mengundi majoriti Orang Asli meningkat 0.4%.
PH berjaya mencapai 70% tahap sokongan pengundi Cina dan India, tetapi ia kurang berbanding lebih 70% pada PRU14.
Beliau berkata secara keseluruhan undi popular PH meningkat sedikit 1.4%, daripada 38.6% pada PRU14 kepada 40% dalam PRK itu.
Bagi BN, Ong berkata undinya lebih tinggi dan majoriti meningkat 3,238 berbanding 597 pada PRU14, kerana kerjasamanya dengan PAS.
“BN menang kebanyakan undi diperoleh PAS pada PRU14,” katanya. – 28 Januari, 2019.
Komen