Umno yakin menang semula 7 kerusi baharu Bersatu


SM Amin

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin (kanan) berbual bersama sebahagian daripada tujuh ahli Parlimen bekas Umno yang menyertai Bersatu semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Februari, 2019.

PENYERTAAN tujuh ahli Parlimen bekas Umno dalam Bersatu bukan isu yang membimbangkan Umno kerana tindakan mereka keluar parti sebelum ini tidak mencetuskan gelombang termasuk di akar umbi, kata pemimpin parti.

Umno sebaliknya ada isu lain yang mustahak, kata mereka, iaitu kerjasama dengan PAS, bagi menghadapi landskap politik Malaysia yang berubah sejak pilihan raya umum sembilan bulan lalu.

Pemimpin Umno dan penganalisis politik melihat tujuh kerusi Parlimen yang “dirampas” oleh Bersatu daripada Umno ekoran tindakan lompat parti ini adalah antara kerusi majoriti pengundi Melayu, yang akan menguji kerjasama Umno-PAS itu.

Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah Ab Rauf Yusoh berkata Umno di bahagian itu tidak terjejas walaupun wakil rakyatnya Mas Ermieyati Samsuddin keluar parti sejak Julai tahun lalu.

Mas Ermieyati yang juga bekas ketua Puteri Umno dan bekas timbalan menteri, semalam adalah antara tujuh ahli Parlimen bekas Umno yang disahkan menyertai Bersatu.

“Sudah lebih enam bulan (sejak Mas Ermiyatie keluar Umno), tiada cawangan terbubar setakat hari ini, belum sampai tahap ahli lari lagi.

“Daripada 26,000 ahli Umno di Masjid Tanah, yang keluar saya ingat beberapa orang saja,” kata Rauf kepada The Malaysian Insight.

Bekas setiausaha kerja Umno itu berkata di Masjid Tanah khususnya bukan saja Umno tidak terjejas malah yang mengalami krisis kepimpinan sebaliknya Bersatu.

“Saya tidak mahu campur parti orang walaupun kita dengar pelbagai isu dalam media sosial. Boleh tengok di media secara terbuka, tidak perlu saya jelaskan,” kata Rauf.

Januari lalu, bekas calon PH bagi kerusi DUN Ayer Limau Ruslin Hassan digugurkan daripada jawatan sebagai penyelaras DUN Ayer Limau.

Ruslin yang juga bekas datuk bandar Kuala Lumpur tidak puas hati dengan keputusan pimpinan Bersatu bahagian diketuai Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Md Yusof, lalu meminta pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad campur tangan.

Dalam PRU14, Mas Ermieyati mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) Sabirin Jaafar dari Bersatu dan calon PAS Mohd Nasir Othman dengan majoriti 8,159 undi. Bekas timbalan menteri pelancongan dan kebudayaan itu mendapat 22,898 undi sementara calon PH 14,739 undi dan PAS 4,688 undi.

“Umno Masjid Tanah masih mampu menang semua kerusi Parlimen dan lima (kerusi) DUN (Dewan Undangan Negeri). Begitulah kukuhnya Umno Masjid Tanah dan rakyatnya yang masih setia dengan parti ini,” kata Rauf.

 

Sentimen sama juga disuarakan pemangku presiden Umno Mohamad Hasan dalam reaksinya terhadap berita tujuh ahli Parlimen bekas Umno masuk Bersatu.

“Itu hak masing-masing, mereka sudah lama keluar Umno, terpulang kepada yang sudi nak terima mereka. Tiada impak kepada kita kerana mereka bukan lagi ahli Parlimen Umno,” katanya semalam.

Enam lagi ahli Parlimen bekas Umno yang disahkan masuk Bersatu semalam ialah Hamzah Zainuddin (Larut), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), dan Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Enam ahli Parlimen itu keluar Umno pada 14 Disember lalu, dua hari selepas tindakan sama beramai-ramai pemimpin Umno di Sabah.

Mereka mengumumkan keluar Umno dengan alasan hilang kepercayaan kepada pimpinan parti dan mahu mendukung Dr Mahathir – pemimpin yang mereka lawan sebelum PRU14 hanya sembilan bulan lalu.

Tetapi pemimpin di bahagian yang terlibat lebih tahu alasan sebenar, misalnya Fasiah yang dikatakan tiada sokongan akar umbi parti walaupun beliau menang pilihan raya, terpilih sebagai wakil rakyat.

“Sesiapapun boleh baca sifir ini dengan mudah. Fasiah tewas ketua bahagian, jadi peluang untuk dia tanding Parlimen akan datang, malap,” kata Ketua Penerangan Umno Bahagian Sabak Bernam Ahmad Jais Zahdi kepada The Malaysian Insight.

Dalam pemilihan parti pada Jun lepas, Fasiah gagal mempertahankan kedudukan apabila kalah kepada bekas ketua bahagian Abd Rahman Bakri, yang juga bekas ahli Parlimen Sabak Bernam. Fasiah kalah dengan 36 undi.

“Sayap Pemuda, Wanita dan Puteri pun sudah tidak bersama dengan dia. Kalau Fasiah masih ada cita-cita hendak jadi YB, dia kena cari platform baharu,” kata Jais.

Bagaimanapun, Jais berkata Umno Sabak Bernam sudah tidak mahu lagi bercakap tentang bekas wakil rakyatnya yang keluar parti. Katanya, semua itu sudah tidak lagi relevan. Apa yang lebih relevan sebaliknya memastikan kerjasama Umno dan PAS jadi realiti.

“Di Sabak Bernam hanya ada Umno dan PAS yang kuat. DUN Sabak pun kita kalah cuma 130 undi saja. Kalau kita dapat bekerjasama dengan PAS, kita mampu menang mudah semua kerusi di sini,” katanya.

Undi Melayu penentu

Sabak Bernam adalah kawasan pilihan raya majoriti Melayu dengan pecahan pengundi 83% Melayu, 12% Cina dan 5% India, berdasarkan daftar pengundi semasa PRU14.

Enam kawasan Parlimen lain yang wakil rakyatnya semalam disahkan menyertai Bersatu juga mempunyai profil pengundi yang hampir sama, semuanya mempunyai majoriti pengundi Melayu antara 78% hingga 99%.

Selain Masjid Tanah dan Mersing, lima kerusi lain dimenangi oleh Umno pada masa itu dengan majoriti kurang 10% daripada jumlah pengundi di setiap kawasan tersebut.

Berdasarkan keputusan PRU14, PH tidak boleh terlalu yakin akan mengekalkan tujuh kerusi Parlimen yang kini dimilikinya selepas menerima ahli Parlimen bekas Umno menyertai Bersatu, kata penganalisis politik Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.

“Tujuh ahli Parlimen bekas Umno hanya menguatkan Bersatu dari segi persepsi saja. Dalam konteks realiti politik semasa, ia umpama percikan bunga api – indah dan hebatnya sementara,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa majoriti pengundi di tujuh kerusi itu adalah konservatif Melayu yang teras politiknya lebih selesa dengan bentuk perjuangan Umno.

Katanya, sentimen Melayu Islam di kawasan itu masih begitu ampuh, yang boleh dirampas dengan mudah melalui kerjasama Umno dan PAS.

Beliau memberikan contoh kerusi Tasek Gelugor di Pulau Pinang yang mempunyai 78% pengundi Melayu. Pada PRU14 lalu, Umno mendapat 18,547 undi manakala Bersatu 18,465 dan PAS 14,891.

“Bayangkan apa bakal berlaku pada pilihan raya akan datang.

“Kerjasama Umno dan PAS akan memberikan impak besar berdasarkan statistik tersebut dan 7 kerusi yang lompat ke Bersatu akan mudah dirampas BN dengan guna formula kerjasama dengan PAS,” katanya.

Beliau berkata penyertaan tujuh ahli Parlimen bekas Umno dalam Bersatu tidak mempunyai kesan jangka panjang kepada parti itu atau PH, sebaliknya hanya menambah beban politik daripada persepsi rakyat yang tidak selesa dengan politik lompat.

“Ini tidak termasuk kritikan dan ketidakpuasan komponen sekutu PH khususnya PKR dan DAP yang melihat usaha ini sia-sia daripada segi jangka panjang hayat PH,” katanya. – 14 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen