Selepas Perlis, Bersatu Melaka pula hadapi krisis kepimpinan


SM Amin

Penyelaras DUN Ayer Limau, Ruslin Hassan mendakwa disingkir menerusi satu surat bertarikh 10 Januari lalu ditandatangani oleh Pengerusi Bersatu Melaka, Mohd Redzuan Yusof.– Gambar The Malaysian Insight, 13 Januari, 2019

BELUM reda krisis kepimpinan Bersatu Perlis, Bersatu Melaka pula kini menghadapi krisis sama apabila Penyelaras DUN Ayer Limau, Ruslin Hassan mendakwa disingkirkan oleh Pengerusi Bersatu Melaka, Mohd Redzuan Yusof.

Penyingkiran tersebut dibuat dalam satu surat bertarikh 10 Januari lalu ditandatangani Redzuan. Surat itu memaklumkan Ruslin dikeluarkan sebagai Penyelaras Dun Ayer Limau dan tempatnya diganti bekas calon Parlimen Masjid Tanah, Sabirin Jaafar berkuatkuasa 11 Januari 2018.

Menurut Ruslin, surat ringkas tersebut bukan sahaja tidak menyatakan sebarang sebab atau alasan beliau digugurkan daripada jawatan tersebut, malah beliau juga langsung tidak dipanggil untuk membela diri.

“Pada pandangan saya, perkara ini tidak mengikuti SOP tindakan pemecatan itu diambil. Kalau dilihat pada notis ini, ia ditulis pada 10 Januari dan berkuatkuasa pada 11 Januari.

“Ini satu jangka masa singkat dan tidak mengikut kaedah biasa seseorang itu diberikan notis, paling tidak 14 hari atau seminggu,” katanya dalam satu pertemuan dengan media malam tadi.

Pada pertemuan itu, Ruslin yang juga bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur antara 2004 hingga 2006 turut menunjukkan kepada media salinan surat tersebut.

Beliau ditemui selepas mengadakan perbincangan dan menyerahkan surat kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya di Shah Alam memohon campur tangan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad bagi menyelesaikan kemelut di Melaka.

Ruslin malam tadi disertai kira-kira 40 pimpinan Bersatu Melaka termasuk sayap pemuda dan wanita negeri, Ramlan Meon dan Azalina Abdul Rahman serta beberapa wakil daripada bahagian-bahagian negeri.

Salah seorang mereka memberitahu wartawan, tindakan Redzuan ini berkait dengan pemilihan parti Bersatu yang dijangka diadakan bermula April depan.

“Redzuan sedang menyusun ‘rakit’ (barisan kepimpinan) sendiri,” katanya yang enggan dikenali.

Sabirin sebelum ini merupakan Penyelaras Parlimen Masjid Tanah. Dalam pilihan raya umum lalu, beliau tewas kepada penyandang dari Umno, Mas Ermieyati Samsudin dengan majoriti 8,159 undi.

Hampir dua bulan selepas PRU14, Mas keluar dari Umno atas alasan hilang keyakinan pada perjuangan parti dan diterima menyertai Bersatu Disember lalu.

Menurut Ruslin, selain beliau beberapa pemimpin lain turut dikenakan tindakan sama tetapi enggan memberikan butiran lanjut.

“Sebenarnya isu di Masjid Tanah ini bukan sahaja melibatkan saya seorang tapi beberapa orang. Walaupun mereka tidak dibuang, tetapi mereka dikenakan tindakan melibatkan keputusan melalui perbincangan.

“Ini berkaitan masalah pengurusan atau tatacara ketua pimpinan bahagian melaksanakan tugasnya. Pada saya ia boleh rosakkan parti,” katanya.

Sebelum ini, krisis sama berlaku di Perlis apabila Setiausaha Bersatu Perlis Wan Saiful Wan Jan digugurkan atas alasan kononnya beliau sibuk dengan urusan sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Bagaimanapun Wan Saiful kemudian mendakwa beliau digugurkan kerana mempersoalkan integriti kepimpinan Bersatu Perlis, termasuk membuat laporan polis mengenai dakwaan penyelewengan melibatkan dana parti.

Kemelut yang melanda negeri itu menyebabkan ibu pejabat Bersatu mengambil alih kepemimpinan Bersatu Perlis berkuat kuasa serta merta, minggu lalu. – 13 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen