BERSATU Perlis menggugurkan Wan Saiful Wan Jan sebagai setiausahanya selepas mendapati beliau terlalu sibuk dengan tugasnya sebagai pengerusi Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Ketua parti negeri Ameir Hassan berkata Wan Saiful tidak dapat menjalankan tugasnya sebagai setiausaha parti, menurut laporan Malaysiakini.
Beliau mengakui peranannya di PTPTN adalah berat tetapi ia menyebabkan banyak hal parti terbiar tanpa ditangani.
“Kami tidak mahu membebannya (Wan Saiful).
“Terdapat kegagalan komunikasi dan isu lain kerana beliau terlalu sibuk dengan PTPTN. Saya fikir kita tidak perlu membebankannya lagi,” kata Ameir.
Keputusan itu dibuat dua hari lalu semasa perjumpaan Bersatu negeri, yang tidak dihadiri oleh Wan Saiful.
Ameir berkata kuasa melantik setiausaha di tangan pengerusi parti negeri dan oleh itu, Wan Saiful tidak dimaklumkan mengenai niat untuk menggugurkannya terlebih dahulu.
Bagaimanapun, surat sudah dihantar kepadanya.
Ameir berkata jawatan setiausaha akan diisi oleh pemimpin Bersatu negeri yang lain. – 7 Januari, 2019.
Komen