WAN Saiful Wan Jan hari ini mendedahkan amalan korupsi berleluasa dalam Bersatu Perlis pada hari sama beliau digugurkan sebagai setiausaha negeri seterusnya mencetuskan persoalan tentang penyingkirannya daripada barisan kepimpinan negeri.
Awal hari ini, Pengerusi Bersatu Ameir Hassan dilaporkan berkata yang Wan Saiful digugurkan sebagai setiausaha kerana beliau terlalu sibuk dengan tugasnya sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pinjaman Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Ameir berkata Wan Saiful mempunyai tanggungjawab berat di PTPTN dan tidak dapat menjalankan tugasnya untuk parti dengan berkesan.
Bagaimanapun, beberapa jam selepas itu Wan Saiful mengeluarkan kenyataan menggambarkan wujud masalah besar dalam Bersatu Perlis.
Beliau mendedahkan yang laporan polis sudah dibuat mengenai tuntutan palsu melibatkan ribuan ringgit.
“Saya digesa untuk menarik balik laporan tersebut. Saya tidak pasti apa motifnya laporan itu mahu ditarik balik, tetapi saya berkeras tidak mahu menarik balik laporan polis itu,” katanya tanpa mendedahkan butiran terperinci mengenainya.
Wan Saiful turut mendedahkan yang beliau turut diminta tidak masuk campur dalam pemberian kontrak kerajaan bernilai jutaan ringgit kepada syarikat yang ada kaitan dengan anak lelaki seorang pemimpin Bersatu Perlis.
“Saya ditawarkan wang yang besar sekiranya membantu pengaturan kontrak tersebut. Saya enggan melakukan salah guna kuasa itu.
“Saya tidak akan bertolak ansur dalam hal integriti, dan saya tidak akan tunduk kepada tekanan untuk mendapatkan wang dengan cara salah oleh mana-mana individu tanpa mengira jawatan yang mereka pegang di Perlis,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau akan terus bekerja keras untuk kebaikan parti.
Ameir bagaimanapun berkata keputusan mengugurkan Wan Saiful dibuat dua hari lepas pada satu mesyuarat Bersatu Perlis yang tidak dihadiri Wan Saiful.
Tambahnya, kuasa pelantikan setiausaha terletak pada pengerusi negeri dan kerana itu Wan Saiful tidak dimaklumkan hasrat kepimpinan negeri untuk mengugurkannya. Bagaimanapun, surat memaklumkan perkara itu sudah dihantar kepadanya. – 7 Januari, 2019.
Komen