Majlis Tindakan Ekonomi perlu lebih libatkan belia, kumpulan pengguna


Nabihah Hamid

Penganalisis politik Dr Tunku Mohar Tunku Mokhtar berkata penglibatan golongan belia perlu diambil kira memandangkan mereka juga antara yang terkesan dalam ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2019.

LANGKAH Putrajaya menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) jalan tepat untuk menangani isu kos sara hidup, kata penganalisis, namun akan lebih elok jika melibatkan kumpulan belia dan lebih banyak kumpulan pengguna.

Mereka berpendapat golongan belia dan lebih banyak badan masyarakat seperti persatuan pengguna perlu dilibatkan kerana mempunyai maklumat yang boleh memandu kerajaan memahami hakikat di akar umbi.

Penganalisis sosiopolitik Dr Awang Azman Awang Pawi berkata tiada masalah untuk Dr Mahathir mengitar semula strateginya menangani krisis ekonomi 1998 namun ia perlu dikemaskini dengan pendekatan baharu iaitu meluaskan penglibatan masyarakat.

Majlis yang diumumkan dua hari lalu dianggota lima anggota Kabinet, seorang bekas menteri, ahli ekonomi, ketua agensi kewangan dan perbankan, badan pemikir dan peguam. Hanya ada seorang wakil pengguna ialah Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Dr Paul Selvaraj.

“Memang satu kekurangan mereka terlalu bergantung format yang lama. Faktor baru seperti penglibatan NGO, kesatuan pengguna dan golongan belia juga perlu dilibatkan yang mana mempunyai pengalaman dalam ekonomi seperti Rafizi Ramli. Ada banyak NGO berkaitan anak muda,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Awang Azman juga berpendapat majlis itu sepatutnya disertai Anwar Ibrahim yang dipersetujui Pakatan Harapan pengganti Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

“Dari segi politik pula sepatutnya perlu melibatkan Anwar Ibrahim sendiri kerana beliau pernah menjadi menteri kewangan. Anwar sebelum antara yang kuat menimbulkan isu kos sara hidup,” kata pensyarah Universiti Malaya (UM) itu. 

Pejabat Perdana Menteri pada Isnin mengumumkan penubuhan MTE yang dipengerusikan sendiri oleh Dr Mahathir.

Majlis yang sama pernah beliau bentuk semasa jadi perdana menteri kali pertama dulu, pada masa itu dikenali dengan nama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), ketika krisis ekonomi Asia pada hujung 1990-an kesan kejatuhan mata wang ringgit.

Majlis kali ini mempunyai mandat merancak dan merangsang ekonomi yang mapan, memastikan pengagihan kekayaan yang saksama dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Antara isu yang akan diberikan tumpuan termasuk kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah.

Semalam, Dr Mahathir menepis dakwaan penubuhan majlis itu mesej tersirat Jemaah Menteri lantikan beliau tidak menepati prestasi, sebaliknya ia langkah membuka ruang kerajaan untuk mendengar pandangan pelbagai pihak.

Dalam pada itu, penganalisis politik Dr Tunku Mohar Tunku Mokhtar berkata penglibatan golongan belia perlu diambil kira memandangkan mereka juga antara yang terkesan dalam ekonomi. 

“Tiada wakil golongan belia, dan kalau dirasakan mereka terkesan dan sepatutnya dilibatkan, mungkin pertimbangan Tun M untuk dapatkan pandangan mereka yang terlibat dengan pentadbiran dan ahli akademik dalam institusi penting serta penglibatan bank negara,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Namun, Tunku Mohar berpendapat penubuhan majlis ekonomi ini penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat, dengan fokus utama mengatasi isu kenaikan kos sara hidup.

“Dengan tertubuhnya majlis ini dapat memberi sekurang-kurangnya keyakinan pada rakyat bahawa masalah ekonomi akan dibincang dan cari jalan penyelesaian.

“Walaupun kerajaan sudah bertukar tetapi isu kos sara hidup, harga barangan, pengangkutan sama ada sama atau pun naik, dan ia meresahkan rakyat. 

“Saya fikir, perkara paling rakyat terhimpit isu harga barang keperluan harian. Ini paling utama perlu diatasi,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ( UIAM).

Walaupun kerajaan sudah bertukar tetapi isu kos sara hidup, harga barangan, pengangkutan sama ada sama atau pun naik, dan ia meresahkan rakyat, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Februari, 2019.

Sejak jadi kerajaan pada Mei tahun lalu, Pakatan Harapan dikritik kerana masih belum menunaikan janji pilihan rayanya iaitu mengurangkan kos sara hidup termasuk harga barangan.

Alasan utama kerajaan ialah beban hutang yang diwarisi daripada pentadbiran Barisan Nasional yang cecah RM1 trilion sehingga memaksanya menangguhkan beberapa janji pilihan raya termasuk menghapuskan tol dan hutang pinjaman pendidikan.

Sementara itu, Awang Azman juga yakin penubuhan MTE akan meningkatkan keyakinan pelabur selain membantu pentadbiran kerajaan mengatur strategi untuk mengukuhkan nilai ringgit. 

“Isu utama yang perlu diatasi ialah bagaimana untuk memulihkan ringgit agar kestabilan ekonomi negara kembali,” katanya. 

Dalam pada itu Dr Kartini Aboo Talib Khalid menyifatkan penubuhan majlis ini satu langkah campur tangan yang baik yang akan menjernihkan persepsi kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan gagal menangani isu semasa.

“Ia bukan sahaja dapat menghentikan spekulasi PH belum berjaya tetapi juga langkah baik untuk menyusun semula hala tuju ekonomi negara,” kata penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu. 

Namun langkah pertama perlu dibuat ialah mengenal pasti punca kelemahan ekonomi berkembang termasuk memastikan ekonomi dinikmati semua kaum.

“Pada hemat saya, perkara utama ialah perpaduan. Jika tiada perpaduan, ekonomi tidak akan berkembang maju. Negara akan kucar-kacir,” katanya lagi. – 13 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen