PENUBUHAN Majlis Tindakan Ekonomi bukan isyarat kabinet tidak berkesan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Jelas Dr Mahathir, semasa jadi perdana menteri kali pertama dulu, beliau pun pernah menubuhkan sebuah majlis dengan fungsi yang hampir sama.
“Semasa saya jadi perdana menteri dulu, saya juga tubuhkan majlis yang sama (Majlis Tindakan Ekonomi Negara – MTEN). Saya tidak tubuh serta merta (selepas jadi perdana menteri) tetapi kemudian.
“Kabinet beri kerjasama penuh dan ia berjaya membangunkan negara,” kata Dr Mahathir, menjawab soalan wartawan pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.
Beliau diminta mengulas pandangan tokoh wartawan A Kadir Jasin yang merumuskan pembentukan Majlis Tindakan Ekonomi yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri semalam mempunyai maksud tersirat Dr Mahathir tidak puas hati dengan prestasi Jemaah Menteri.
Menurut Dr Mahathir, majlis itu dibentuk untuk mendengar pandangan dan pendapat pelbagai pihak.
“Kalau kita hanya dengar pandangan sesama kita (anggota Jemaah Menteri), kita akan buat silap. Majlis itu akan memboleh saya dan yang lain-lain mendengar pandangan rakyat dari pelbagai sudut,” katanya.
Jelas Dr Mahathir, kerajaan melalui majlis itu akan mendapatkan pandangan dan cadangan pelbagai pihak untuk menyelesaikan pelbagai masalah ekonomi yang sedang dihadapi rakyat dan negara.
Beliau berharap semua masalah itu akan dapat ditangani segera kerana kerajaan selama ini sibuk menyelesaikan warisan masalah yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional, termasuk hutang yang ditanggung negara.
Dua menteri kabinet – Muhyiddin Yassin dan Mohamed Azmin Ali – juga sebelum itu menepis pandangan Kadir pembentukan majlis itu mesej tersirat Dr Mahathir tidak puas hati dengan prestasi Jemaah Menteri lantikannya.
Malah Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata idea penubuhan majlis itu beliau sendiri yang kemukakan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan dan dipersetujui Dr Mahathir.
Selepas mesyuarat Majlis Presiden PH pada 1 Februari lalu, Dr Mahathir mengumumkan kerajaan akan menubuhkan sebuah badan yang akan berperanan sama seperti Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang pernah beroperasi ketika krisis ekonomi Asia pada 1998.
Majlis Tindakan Ekonomi yang diumumkan semalam dianggotai menteri kabinet serta beberapa pakar ekonomi termasuk bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz dan bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, yang kini pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB). – 12 Februari, 2019.

Komen