Makna tersurat Majlis Tindakan Ekonomi


LANGKAH Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi mempunyai matlamat tersurat dan tersirat.

Yang tersurat adalah Dr Mahathir memerlukan sebuah badan khas bagi meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal-hal penting dan segera mengenai ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat jelata.

Yang tersirat adalah perdana menteri secara langsung mengakui jentera yang sedia ada, khususnya Kabinet, tidak memadai bagi menangani isu-isu yang disebutkan itu.

Kita tidak perlulah berpura-pura kerana hendak menjaga hati sesiapa atau mana-mana pihak.

Realitinya adalah selepas lebih lapan bulan mentadbir negara, kerajaan Pakatan Harapan (PH) belum berjaya menampakkan hasil yang boleh dirasakan oleh rakyat jelata.

Serentak dengan itu, ekonomi dan kewangan negara terus dicabar oleh legasi kerosakan yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kini ditambah pula oleh suasana ekonomi antarabangsa yang semakin meruncing akibat perang dagang China-Amerika.

Matlamat Majlis

Mengikut kenyataan media Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dikeluarkan semalam, majlis yang dipengerusikan sendiri oleh perdana menteri itu mempunyai empat tujuan utama.

Pertama, merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi. Kedua, memastikan pertumbuhan yang mampan dan lestari. Ketiga, menjamin pengagihan kekayaan yang saksama dan keempat, meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Majlis ini ditubuhkan bagi menyahut dan bertindak atas maklum balas rakyat jelata terhadap masalah yang mereka hadapi, khususnya dalam bidang ekonomi.
“Ia juga akan meneliti isu-isu berkaitan kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah,” kata kenyataan JPM itu.

Jangan dolak-dalik

Kita tidak perlu berdolak-dalik bahawa semakin ramai rakyat jelata mula kecewa dengan prestasi kerajaan PH, termasuk dengan anggota Kabinet dan perkhidmatan awam.

Saya rasa ramai orang tahu perdana menteri sendiri tidaklah terlalu gembira atau puas hati dengan prestasi anggota Kabinet.

Boleh kata setiap kali beliau bersemuka dengan orang ramai dan wartawan beliau ditanya berkenaan ketidakcekapan menteri, menteri yang amat jarang melawat rakyat jelata, menteri yang asyik berswafoto (selfie) dengan pegawai-pegawai sendiri, menteri yang susah ditemui dan menteri yang tidak bercakap benar mengenai hal-hal peribadi.

Saya melihat dengan mata kepala sendiri menteri yang disambut macam raja oleh pegawai sendiri dan dikawal amat rapi oleh polis apabila turun padang sehingga susah untuk rakyat jelata menghampiri mereka.

Kalau setakat hendak disambut dan makan bersama pegawai kanan dari ibu pejabat tak payahlah susah-susah ke luar bandar atau ke rancangan Felda.

Apabila ke luar bandar, ke rancangan Felda, Felcra atau kampung nelayan duduklah dengan orang kampung, peneroka, pekebun kecil, nelayan dan peniaga.

Kurangkanlah atau berhenti berswafoto dengan kakitangan sendiri dan membuat tampalan Facebook, Twitter atau Instagram yang remeh-temeh.

Kalau boleh atau kalau berani, tolong kawal anak bini supaya tidak hebahkan gambar dan cerita kemewahan melancong ke pergunungan Alps, menaiki jet peribadi atau terbang kelas pertama ke Monte Carlo.

Tolong beringat media sosial yang membantu kemenangan PH akan menjatuhkan PH kalau menteri, menteri besar, ketua menteri dan timbalan menteri buat kerja tidak senonoh, tidak cekap dan tidak mesra rakyat.

Amat tidak bertanggungjawab dan amat dangkal mengharapkan perdana menteri menyelesai dan membersihkan semua “najis” yang dibuat oleh menteri, menteri besar, ketua menteri dan timbalan menteri.

Baliklah selalu ke kawasan atau ke negeri dan kurangkanlah sikit tabiat tidak berada di kawasan supaya tidaklah dituduh malas atau curi tulang.

Ingatlah, dengan adanya media sosial rakyat jelata menjadi “pemberita”.

Menurut kenyataan JPM, pelantikan itu berkuat kuasa serta-merta manakala Unit Penyelarasan Perlaksanaan di JPM akan bertindak sebagai sekretariat.

Dari kaca mata rakyat jelata, ujian sama ada kerajaan PH lulus atau gagal mudah sahaja – keselamatan, kos sara hidup dan pekerjaan.

Maaf cakaplah kalau saya kata, tak guna kita bercakap mengenai hal-hal yang tinggi melangit kalau perkara-perkara asas seperti harga dan bekalan makanan, pengangguran, pengangkutan, pelajaran, kesihatan dan perumahan rakyat jelata tidak ditangani dengan lebih baik daripada ketika kerajaan dahulu.

Rakyat jelata sudah merasa perubahan kerajaan. Mereka akan mengubah kerajaan jika harapan mereka tidak dipenuhi. Wallahuaklam. – 12 Februari, 2019.

* A Kadir Jasin adalah penasihat media kepada perdana menteri.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen