Putrajaya tubuh Majlis Tindakan Ekonomi 


Majlis itu dibentuk bagi merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2019.

PUTRAJAYA menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi yang akan meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat, umum Pejabat Perdana Menteri.

Majlis itu dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan dianggotai beberapa menteri kabinet, bekas menteri, pakar ekonomi serta wakil industri dan pengguna.

“Majlis ini ditubuhkan bagi menyahut dan bertindak ke atas maklum balas rakyat jelata terhadap masalah yang mereka hadapi, khususnya dalam bidang ekonomi,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini. 

Majlis itu dibentuk bagi merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, tambah kenyataan itu.

Antara isu yang akan diteliti termasuk soal pengagihan kekayaan yang sama, meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, selain isu-isu kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah. 

Empat anggota Jemaah Menteri dilantik ke majlis tersebut iaitu Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking dan Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Majlis itu dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan dianggotai beberapa menteri kabinet, bekas menteri, pakar ekonomi serta wakil industri dan pengguna, bagi merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Februari, 2019.

Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid turut dilantik ke majlis itu, bersama bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz.

Bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, yang kini pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), juga menganggotai majlis. Zeti juga adalah ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang dibentuk selepas Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei tahun lalu.

Seorang lagi anggota CEP, Dr Jomo Kwame Sundaram juga dilantik menganggotai majlis  tersebut.

Anggota-anggota lain ialah seperti berikut:

  • Tan Ah Lek, Pengarah Urusan Public Bank
  • Dr Hasnita Hashim, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat
  • Shireen Ann Zaharah Muhiudeen, Pengerusi Bursa Malaysia
  • Dr Mohd Munir Abdul Majid, Pengerusi Majlis Penasihat Bisnes Asean
  • Dr Paul Selvaraj, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca)
  • Bah Tony @ Amani William Hunt Abdullah, peguam
  • Nizam Mashar, ahli lembaga pemegang amanah, Institut Masa

Institut Masa ialah sebuah badan pemikir Bersatu yang menumpukan kajian pada aspek pembangunan ekonomi Melayu.

Semua lantikan ini berkuat kuasa serta merta, kata Pejabat Perdana Menteri, sementara sekretariatnya diletakkan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri.

Awal bulan ini, Dr Mahathir mengumumkan kerajaan akan menubuhkan sebuah badan yang akan berperanan sama seperti Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang pernah beroperasi ketika krisis ekonomi Asia pada 1998. 

“Kita akan tentukan semua masalah ekonomi dibawa kepada majlis ini dan menentukan supaya keputusan dibuat serta tindakan diambil dengan lebih cepat daripada sekarang.

“Sekarang ini agak berpecah kerana kita tidak ada satu badan yang menentukan mengenai pelaburan dan sebagainya. 

“Ada yang pergi kepada kementerian tapi tindakan mungkin tidak begitu jelas kepada rakyat,” katanya, seperti dilapor media pada 1 Februari lalu. – 11 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen