PEMBANTU Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong mengambil masa selama lima jam menjawab lima soalan kepadanya dengan hanya satu soalan berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap Unisel di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
“Mereka bertanya jika saya mengetahui apa-apa berkaitan kes Unisel-Jana Niaga sebelum ia muncul dalam berita baru-baru ini. Saya tak tahu,” kata Shao Loong.
Dia berkata pegawai itu juga bertanya jika dia ada menulis di Twitter mengenai dipanggil memandangkan pegawai tertinggi dalam SPRM tidak rasa tidak senang.
“Pegawai tertinggi tidak senang apabila saya tweet akan pergi ke sana. Jika semuanya terbuka, kenapa terasa?(tersinggung).”
Shao Loong berkata dia dipanggil untuk disoal siasat walaupun sudah jelas dia tidak tahu menahu apa-apa yang berkaitan dengan kesalahan di bawah Akta SPRM.
“Saya perlu buat kesimpulan yang ia satu bentuk gangguan walaupun semalam pesuruhjaya SPRM berkata beliau tidak mengganggu Selangor. Tetapi sebagaimana kenyataan saya menyeru kepada kerjasama penuh kepada siasatan mereka, saya berikan kerjasama.
“Jadi, 5 jam untuk 5 soalan dan 5 muka surat kenyataan. Sebab itu saya rasa ianya seperti gangguan,” tambahnya.
Shao Loong berkata soalan-soalan lain yang diberikan kepadanya ialah mengapa dia mengeluarkan kenyataan mengenai siasatan SPRM dan jika dia diberi kuasa untuk mengeluarkan kenyataan media di bawah namanya.
Dua hari lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad menafikan menganggu atau menakut-nakutkan kerajaan Selangor.
Beliau sebaliknya berkata badan anti rasuah itu yang lebih banyak dikriktik oleh pelbagai pihak ketika menjalankan tugas.
“Saya nak bertanya kepadanya (Menteri Besar Selangor Azmin Ali), siapa yang akan menerima lebih banyak kecaman? Kerajaan negeri atau SPRM? Selalunya SPRM yang terima banyak kritikan.
“Jadi, tuduhannya (SPRM menganggu Selangor) adalah tidak benar,” katanya kepada media.
Dzulkifli membalas dakwaan Azmin pada Sabtu lalu bahawa gangguan ke atas negeri Selangor akan berterusan sehingga pilihan raya umum akan datang dan disebabkan rasa cemburu terhadap kejayaan yang dicapai oleh negeri itu.
Azmin berkata demikian berikutan serbuan dan siasatan SPRM ke atas Uiversiti Selangor (Unisel) dan Mentri Besar Incorporated (MBI) berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan RM16 juta.
Dzulkifli menegaskan SPRM hanya mendapatkan semula dokumen-dokumen bagi membantu siasatan dan ia tidak menganggu hal ehwal pentadbiran Selangor.
“Kami ke sana hanya untuk mengambil dokumen,” katanya.
Pada 22 Ogos lalu, SPRM yang bertindak atas laporan yang dibuat terhadap MBI dan firma swasta Jana Niaga Sdn Bhd berkaitan dakwaan rasuah telah menyerbu kedua-dua organisasi dan Unisel.
The Sun melaporkan MBI didakwa membayar JNSB sebanyak RM16 juta bagi penyelenggaraan asrama pelajar Unisel melalui dua pembayaran pada 2015 dan 2016, walaupun kehilangan kontrak pada 2013. – 29 Ogos, 2017.
Komen