SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menganggu dan menakut-nakutkan Selangor, berlainan dengan dakwaan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata agensi itu mempunyai risiko lebih besar kerana mereka akan lebih mudah menjadi sasaran pengkritik pelbagai pihak sekiranya berbuat demikian.
“Saya hendak tanya dia, siapa yang akan kena kecam nanti? Adakah kerajaan negeri atau SPRM? Kebanyakan masa, SPRM yang kena kritik.
“Jadi, tuduhannya (yang SPRM menakut-nakutkan negeri) tidak benar,” katanya seperti dilaporkan akhbar The Sun.
Ahad lalu, Azmin mendakwa gangguan dan menakut-nakutkan kerajaan negeri akan berterusan sehinggalah pilihan raya negeri berpunca daripada rasa cemburu ke atas pencapaian Selangor.
Minggu lepas, SPRM menyerbu Universiti Selangor (Unisel) dan Menteri Besar Incorporated (MBI) berkaitan dakwaan korupsi dan salah guna kuasa melibatkan Rm16 juta.
MIB didakwa membayar Jana Niaga Sdn Bhd untuk menyelia asrama pelajar Unisel melalui dua kali bayaran pada 2015 dan 2016 walaupun syarikat itu sudah ditamatkan kontrak pada 2013.
Dzulkifli berkata Azmin salah faham niat SPRM kerana mereka hanya mahu mendapatkan dokumen berkaitan kes itu dan tidak berhasrat masuk campur dalam urusan pentadbiran negeri. – 28 Ogos, 2017.
![]()
Komen