Selangor akan diganggu sehingga PRU14, kata Azmin


Looi Sue-Chern

Gangguan dan ugutan ini telah dijangka memandangkan terdapat sesetengah pihak cemburu dengan pencapaian di Selangor yang ditadbir pembangkang, kata Azmin. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Ogos, 2017.

GANGGUAN dan ugutan terhadap kerajaan Selangor dijangka berterusan sehingga pilihan raya akan datang selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu Universiti Selangor (Unisel) dan Mentri Besar Incorporated (MBI), kata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Azmin yang baru sahaja pulang dari luar negara berkata, semua ini telah dijangka memandangkan terdapat sesetengah pihak cemburu dengan pencapaian di Selangor yang ditadbir pembangkang.

“Gangguan dan ugutan seperti ini akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14. Ini telah kita jangkakan. Banyak pihak hari ini yang cemburu dengan kejayaan demi kejayaan yang telah dicatatkan di negeri Selangor.

“Bukan saja Selangor dapat mewujudkan satu perpaduan yang utuh dalam pentadbiran kerajaan negeri yang melibatkan parti-parti politik yang diberikan mandat dalam PRU13, dan sekarang kita ada rakan baru dalam Pakatan Harapan. 

“Pada masa yang sama juga ada pihak yang cemburu dengan kejayaan kami menguruskan ekonomi dan kewangan dengan cara yang berhemah, amat telus dan berintegriti,” katanya kepada pemberita hari ini.

Azmin menyebut pencapaian terkini Selangor iaitu pelaburan berjumlah RM1 bilion oleh peruncit perabot Sweden, IKEA yang sedang membina pusat pengedaran Asean di negeri itu.

“Saya baru pulang dari Zurich, Switzerland dan kami diberi dokongan yang begitu kuat oleh IKEA untuk membangunkan ‘distribution centre’ di Pulau Indah, Klang.

“Ia adalah yang ketiga terbesar di dunia selepas Chicago dan Düsseldorf di Jerman. Dan dengan pelaburan berteknologi tinggi bernilai RM1 bilion ini akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk anak-anak di Selangor khususnya yang mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi  dan ini akan dapat menjana satu pertumbuhan ekonomi yang mampan di Selangor,” katanya.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan baru-baru ini mengumumkan tentang pelaburan itu. MIDA berkata pusat itu akan menyediakan 12 kedai runcit di Asean dan akan meningkat kepada 20 buah menjelag 2026.

Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri Mustapa Mohamed dipetik sebagai berkata projek itu adalah pencapaian penting bagi Malaysia dan juga IKEA.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata pelaburan IKEA itu akan membantu mengekalkan ekonomi Selangor.

“Kejayaan ini mendapat laporan meluas dalam Bangkok Post, The Edge… tetapi tidak dalam Utusanlah… itu kita sedai maklum.

“Tetapi oleh kejayaan demi kejayaan ini  telah menyebabkan ada pihak yang tersinggung atau cemburu , dan mereka cuba menganggu dan menakut-nakutkan saya serta kerajaan negeri,” kata Azmin.

Katanya, kerajaan Selangor menyokong semua usaha membanteras rasuah tetapi menuntut SPRM bertindak secara profesional.

“Kalau tidak, ini akan wujud persepsi tidak baik dalam kalangan masyarakat, gagal mengembalikan keyakinan rakyat terhadap  institusi penting negara untuk membanteras rasuah.

Azmin juga berkata beliau gembira beberapa pegawai tertinggi Unisel dan MBI telah memberi kerjasama dalam siasatan. Beliau juga berjanji kerjasama itu akan terus diberikan kepada SPRM bagi membantu siasatan.

Ketika ditanya mengapa beliau meminta SPRM perlu profesional ketika menyerbu agensi-agensi negeri berdasarkan laporan yang dibuat, Azmin berkata beberapa saluran media telah terlebih dahulu diberitahu mengenai serbuan itu.

“Tak pelu tanya soalan itu. Anda tahu persepsi umum. Media mana yang  dipanggil lebih awal, sedangkan Unisel dan MBI tidak dimaklumkan? Utusan dan TV3 yang diutamakan.

“Apa tujuannya? Kalau ini soal siasatan, jadi siasatlah secara terbuka, telus dan profesional. Kita akan beri kerjasama, tiada masalah. Tidak ada perkara yang kita sorok.

“Nothing to hide dalam perkara ini kerana semua proses itu berjalan dengan telus dan terbuka demi perjalanan akademik dan keselesaan anak-anak kita di Unisel,” katanya.

Rabu lalu, SPRM membuat serbuan secara serentak di lima lokasi di Selangor dan Kuala Lumpur bagi menyiasat pembayaran sebanyak RM16 juta yang didakwa dibuat oleh sebuah syarikat milik kerajaan Selangor kepada sebuah firma swasta bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

Kampus utama dan pejabat Unisel, pejabat MBI dan dua pejabat milik kontraktor Janan Niaga Sdn. Bhd. telah diserbu.

Selain Selangor, di Pulau Pinang kira-kira dua minggu lepas SPRM menahan exco alam sekitarnya, Phee Boon Poh kerana didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapat habuan.

Phee telah menulis surat untuk mendapatkan penangguhan tindakan penguatkuasaan ke atas sebuah kilang memproses penapis karbon haram di Sungai Lembu. – 26 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen