EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas hadir ke pejabat agensi itu petang tadi.
Peguamnya RSN Rayer memaklumkan arahan penahanan itu dikeluarkan oleh ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
“Kami diminta hadir dan bertemu dengan pegawai selepas jam 2 petang. Kami bertemu mereka dan kenyataan Phee diambil.
“Ketika selesai mengambil keterangan, kami diberitahu terdapat arahan baru dari SPRM Putrajaya untuk menahannya. Saya tidak tahu apa sebab penahanan itu. Dia memberi kerjasama untuk membantu siasatan,” katanya.
Rayer memaklumkan Phee yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Puyu itu akan dibawa ke mahkamah pada Sabtu untuk perintah tahanan reman.
Beliau yang turut bersamanya di pejabat SPRM itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut, dan memberitahu pemberita kesnya ada kaitan dengan beberapa pucuk surat yang ditandatangani oleh Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar itu.
“Saya rasa ia berkaitan isu kilang haram. SPRM sudah ke pejabatnya pagi ini untuk mengambil beberapa dokumen. Mereka mahu rakam kenyataannya berhubung dokumen itu,” tambahnya.
Serbuan itu dibuat kira-kira seminggu selepas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menandatangani ikrar bebas rasuah bersama 10 perakuan tambahan mengukuhkan integriti kerajaan negeri dengan SPRM.
Kilang haram memproses penapis karbon di Sungai Lembu, Bukit Mertajam beroperasi sejak bertahun lalu di tanah ladang kelapa sawit. Ia diserbu oleh pihak berkuasa persekutuan semalam.
Penduduk tempatan mengadu operasi kilang terbabit menyebabkan pencemaran alam sekitar dan mendakwa tiada sebarang tindakan diambil pihak berkuasa berkenaan.
Pada sidang dewan undangan negeri beberapa bulan lalu, isu berkenaan dibangkitkan dan kerajaan negeri menyatakan mereka mengambil tindakan terhadap kilang haram. – 11 Ogos, 2017
Komen