Langsung: Hari ketiga RCI kerugian forex Bank Negara


The Malaysian Insight

Saksi kedua prosiding RCI Bank Negara, Saleha Jalim bekas pengurus jabatan akaun BNM memberi keterangan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 29 Ogos, 2017.

PROSIDING Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an bersambung untuk hari ketiga di Istana Kehakiman di Putrajaya, hari ini.

Ketika pendengaran pada 24 Ogos, panel diberitahu had perdagangan forex mencecah AS$800 juta sehari, dan ia dibenarkan oleh bekas penolong gabenor BNM Nor Mohamed Yakcop.

Bekas auditor BNM Wong Yew San juga memberi kenyataan bercanggah dengan bekas penolong gabenor Abdul Murad Khalid yang tidak ada sesiapa mengawal a kerugian forex pada masa itu. Wong berkata Jawatankuasa Simpanan Luar ditubuhkan untuk memantau dan mengawal selia urus niaga forex.

Pada sidang pertama suruhanjaya itu, Murad berkata gabenor bank pusat berkenaan pada masa itu, Jaafar Hussein tidak tahu betapa besar kerugian forex itu. Murad sendiri berkata beliau hanya mengetahui mengenainya secara tertutup, dan menyalahkan Nor Mohamed Yakcop kerana gagal menjalankan tanggungjawab.

Prosiding kedua diadakan pada 21 Ogos juga mendengar keterangan bekas kakitangan bank itu mengenai jumlah kerugian RM31.516 bilion dari 1991 hingga 1994 dan kekurangan penyeliaan terhadap jabatan pertukaran mata wang asing BNM.

Abdul Aziz Abdul Manaf berkata BNM kerugian RM31.516 bilion dari 1991 hingga 1994, tetapi tidak jelas bagaimana ia direkodkan. Jumlah itu lebih besar berbanding RM9.3 bilion yang didedahkan bank itu dalam laporan tahunannya pada 1994.

Bekas auditor BNM Ahmad Hizzad Baharuddin juga memberi keterangan yang bank t “tidak ada sistem periksa dan imbang” dan “penyeliaan terhadap Jabatan Pertukaran Mata wang Asing agak longgar”.

RCI itu yang dipengerusikan oleh Pengerusi Petronas Mohd Sidek Hassan ditubuhkan untuk menentukan kesahihan dakwaan kerugian itu disebabkan spekulasi pertukaran mata wang, sama ada aktiviti BNM dalam urus niaga forex bercanggah dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau undang-undang lain, dan sama ada wujud cubaan untuk menutup kerugian itu daripada pengetahuan umum.

Ahli panel lain ialah Hakim Mahkamah Tinggi Kamaludin Said, CEO Bursa Malaysia Tajuddin Atan, Pengerusi Bersama Pasukan Khas untuk Membantu Perniagaan Saw Choo Boon, ahli Institut Akaun Malaysia K Pushpanathan dan Pengarah Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Yusof Ismail.

The Malaysian Insight akan membawakan anda berita terkini daripada prosiding itu:

4.26pm: Sesi pendengaran hari ketiga tamat. Prosiding bersambung esok.

4.20: Ahli panel, Tajuddin Atan meminta Khaw mengesahkan kenyataannya yang kerugian BNM dari 1991 hingga 1994 adalah disebabkan dagangan forex diambil kira dalam laporan bank. “Kamu boleh sahkan?” soal Tajuddin.

“Ya,” jawab Khaw.

Tajuddin juga bertanya mengapa kenyataannya mengatakan pemulihan bagi kerugian forex yang ditanggung dari 1988 hingga 1994 mengikut piawai dan amalan konsisten perakaunan yang diterima pakai oleh bank sedangkan laporan kompilasinya megandungi banyak perubahan.

Kata Khaw, perubahan itu adalah berkenaan uruniaga dengan pasaran lain dan tiada kena mengena dengan kerugian forex.

Ahli panel Saw Choo Boon bertanya kepada Khaw sama ada jawatankuasa penyelia yang ditubuhkan pada Mac 1993 menggantikan Jawatankuasa Rizab Luar (ERC). Khaw berkata ia adalah jawatankuasa yang berasingan.

Tentang sama ada Jawatankuasa Pengurusan Rizab pada 1994 mengambil alih jawatankuasa lain termasuk ERC, Khaw mengatakan yang dia tidak pasti.

ERC ditubuhkan untuk mengawal selia dan memantau urusniaga tukaran wang asing yang dibuat BNM.

Bekas penolong pengarah BNM Abdul Murad Khalil dalam temubual bersama New Straits Times sebelum ini berkata, tiada sesiapa yang meneliti kerugian forex BNM. Bagaimanapun, pada hari kedua pendengaran pada 24 ogos, bekas juruaudit bank pusat Wong Yew San berkata ERC ditubuhkan bagi tujuan itu.

4.11pm: Khaw berkata berdasarkan kompilasi itu, semua kerugian yang dialami BNM dalam urusniaga forex bagi tahun 1991, 1992, 1993 dan 1994 dilaporkan dan dinyatakan dalam laporan bank.

Tambah Khaw, cara kerugian forex dari 1988 hingga 1994 dipulihkan selaras dengan “piawai dan amalan konsisten perakaunan yang diterima pakai BNM sejak 1988.”

“Tiada perubahan dalam pemulihan perakaunan dan ia bukan amalan perakaunan baru yang dibangunkan bagi mengatasi kerugian forex.”

4.00pm: Khaw berkata beliau tidak dapat mengatakan kenapa urusniaga forex yang dijalankan dari 1988 hingga 1994 tidak dianggap sebagai dagangan dan kenapa ia tidak direkodkan didalam akaun untung dan rugi. Bagaimanapun, ia direkod didalam rizab lain. Jadi, beliau tidak fikir adanya penyembunyian mengenai kerugian itu.

“Pemulihan kerugian yang timbul daripada urusniaga forex dari 1988 hingga 1994 tidak dilakukan bagi menyembunyikan kerugian BNM pada 1991 hingga 1993, kerana ia dilaporkan dan dicerminkan dalam turun naik kadar pertukaran, satu akaun rizab dalam kunci kira-kira,” kata Khaw.

3.25pm: Saksi keempat, Khaw Lay Kuan yang menjadi pengurus di Jabatan Kewangan pada 2008-2012 memberi keterangan.

Khaw berkata beliau tidak membuat sebarang audit mengenai kerugian yang dialami BNM, tetapi bekas gabenor BNM, Zeti Akhtar Aziz telah mengarahkannya dan seorang bekas pengurus akaun iaitu Abdul Aziz Abdul Manaf menyediakan satu kompilasi mengenai kerugian daripada Pengurusan Rizab Aktif.

“Pemulihan Akaun Kerugian yang timbul daripada Pegurusan Rizab Aktif dari 1988-1994 bertarikh 19 Apri, 2017 bukanlah satu audit tetapi kompilasi peristiwa lepas atau urusniaga yang berlaku dari 1988 hingga 1994 berdasarkan kertas Lembaga, penyata dua minggu mengenai aset dan liabiliti, juga minit jawatankuasa audit lembaga,” kata Khaw.

Beliau berkata tidak diberitahu tentang tujuan kompilasi itu dibuat dan percaya Abdul Aziz boleh memberi penerangan kerana hanya Abdul Aziz yang menghadiri mesyuarat di mana Zeti memberitahunya tentang perkara itu.

3:24pm: Ishak memberitahu panel yang bank pusat itu perlu mencari jalan untuk menyerap kerugian dan tidak boleh menggambarkan institusi itu sedang bermasalah.

“(Kerana) ia akan menjejaskan ringgit. Kami tak perincikan pergerakan. Ia tidak didedahkan kerana itu adalah dasar, bank pusat tidak boleh menunjukkan apa yang dipunyainya.”

Ditanya ahli panel tentang jumlah simpanan bank pusat pada 1994, Ishak mengatakan ia berjumlah RM42 juta.

Pegawai bertugas, Suhaimi Ibrahim nampak terkejut dan bertanya sekiranya jumlah simpanan itu adalah normal, kerana jumlahnya sangat kecil.

Ishak berkata, “Tiada perkara ‘normal’, jika ringgit lemah, simpanan akan dinaikkan”.

2:15pm: Prosiding disambung dengan saksi ketiga Ishak Ismail menyambung keterangannya.

12:10pm: Saksi ketiga, Ishak Ismail yang pernah menjadi pengurus di jabatan akaun di BNM dipanggil memberi keterangan.

Ishak mengesahkan ada pengasingan antara akaun perdagangan dan akaun pengurusan rizab, tetapi berkata beliau tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan klasifikasi transaksi tertentu.

1:00pm: Pendengaran berhenti rehat makan tengah hari dan akan bersambung semula 2:15pm.

12:04pm: Saleha selesai beri keterangan.

11:50am: Ahli panel Kamaludin Md Said bertanya kepada Saleha sekiranya dia menyedari bagaimana kerugian yang dilaporkan RM5.7 bilion itu berlaku.

“Saya tidak tahu secara terperinci tetapi daripada jumlah keseluruhan kerugian, kami tolak jumlah tertentu daripada kadar tukaran asing yang berubah-ubah akaun ‘server’ dan bakinya adalah perbelanjaan tertunggak,” katanya.

11:15am: Prosiding bersambung semula.

Saksi kedua Saleha Lajim, yang juga bekas pengurus akaun di jabatan akaun BNM dipanggil memberi keterangan.

“Ketika saya pengurus, saya dimaklumkan urus niaga forex dilakukan tetapi tidak pasti sama ada ia untuk menstabilkan mata wang atau sekadar spekulasi,” katanya kepada panel.

“Jabatan bank melakukan urus niaga forex dan saya tahu ada peniaga tetapi tidak tahu berapa ramai, dan saya tidak tahu had urus niaga mereka,” katanya, menambah dalam mesyuarat mingguan, laporan dibentangkan menyatakan kerugian yang ditanggung oleh bank itu.

“Saya tidak tahu punca kerugian dihadapi daripada urus niaga forex.”

10:30am: Kanason memberitahu ahli panel Wira Kamaludin Md Said yang apabila mempertikaikan kesahihan urus niaga forex BNM, beliau diberitahu oleh Ainum, “mereka yang berkuasa beri arahan, jangan campur tangan”.

“Bila jawapan bertulis yang dijanjikan tidak sampai kepada kami, saya telefon dan tanya bolehkah kami dapatkan jawapan itu dan ketika itu beliau kata begitu. Saya terkejut dan kata tolonglah, awak perlu beri saya sesuatu.

“Dia beritahu saya untuk tunggu surat daripadanya. Surat itu tidak seperti yang sepatutnya,” kata Kanason.

10:45am: Prosiding berhenti rehat.

Saksi pertama prosiding RCI Bank Negara P. Kanason Pothinker, bekas auditor di Pejabat Ketua Audit Negara . – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 29 Ogos, 2017.

10:00am: “Auditor yang bertanggungjawab dalam bahagian audit BNM membawa satu salinan transaksi forex ke dalam mesyuarat berjumlah melebihi RM50 juta,” kata Kanason.

Beliau memberitahu pegawai bertugas Suhaimi Ibrahim yang pasukannya mendapatkan nasihat undang-undang daripada khidmat penasihat ketika itu di Jabatan Peguam Negara, Ainum Mohd Said sama ada urus niaga forex BNM itu mematuhi undang-undang atau tidak.

“Saya boleh nampak. Tidak ada bank pusat lain buat begitu. Dan apa tujuannya? Adakah objektif kita jelas? Jika mereka mahu mengendalikan mata wang menerusi urus niaga, mengapa mereka tidak melakukannya pada masa sekarang?

“Tuhan beritahu saya ada sesuatu yang tidak kena. Saya ada anak dan cucu. Saya ada tugas untuk kata apa yang saya fikir. Apa yang saya katakan ialah ada undang-undang di situ. Jika orang yang tahu undang-undang kata ia okay, jadi saya okay. Tetapi mereka tidak beritahu saya apa-apa.”

9:30am : Kanason, yang mengetuai sepasukan pegawai menjalankan audit kewangan BNM dari 1985 hingga Januari 1992 berkata beliau mendapati tidak ada maklumat dalam perpustakaan BNM mengenai mengapa bank pusat itu memutuskan untuk menjalankan urus niaga forex berskala besar bermula pada 1985.

“Dapatan itu ialah BNM belum melakukan sebarang transaksi forex, sehingga ke peringkat seperti sekarang, pada tahun-tahun sebelum 1985,” katanya.

9:15am: Saksi pertama, P. Kanason Pothinker, bekas auditor di Pejabat Ketua Audit Negara, dipanggil memberi keterangan.

9:00am: Hanif Khatri Abdulla, peguam Dr Mahathir Mohamad memohon Pengerusi RCI Sidek Hassan menarik balik kenyataan daripada persidangan pertama RCI yang diberitahu jumlah kerugian akibat urus niaga jabatan forex BNM dari 1991 hingga 199 ialah RM31.516 bilion.

“Kami bagi pihak Tun M menyatakan bantahan kami berhubung keputusan seperti itu adalah salah dan terlalu awal memandangkan keseluruhan prosiding masih belum diputuskan sepenuhnya.”


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen