BAGI peneroka Felda, Abdul Rahim Mohd Said, menyambut bekas Perdana Menteri Najib Razak datang ke kampungnya di Sungai Koyan seolah-olah meraikan seorang sahabat lama.
“Saya dah kenal dia bertahun-tahun, lebih 40 tahun. Sejak dia menteri besar Pahang lagi dia pernah datang Sungai Koyan, dan dia tak pernah berhenti datang semasa dia PM,” kata peneroka berumur 61 tahun dari Felda Sungai Koyan 3 itu.
Najib adalah menteri besar Pahang antara 1982 hingga 1986.
Kesan Najib kepada pengundi Melayu di bandar dan pinggir bandar dalam empat pilihan raya kecil (PRK) sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu boleh diketepikan, kalau pun tidak hampir tiada kesan.
Beliau berdepan deretan panjang pertuduhan di mahkamah dan dituduh punca kenaikan kos sara hidup di bandar kesan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Tetapi di kawasan perkampungan Melayu di Sungai Koyan – kelompok pengundi kritikal dalam PRK Cameron Highlands – beliau dianggap bagai seorang “Ayahanda”.
Najib boleh pergi ke ceruk mana sekali pun di kawasan Felda dan berkata: “Ini saya yang buat.”
Itulah yang beliau buat semalam ketika berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN), Rahim Mohd Nor yang bertanding melawan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran dan dua calon bebas, Sallehuddin Ab Talib dan Wong Seng Yee.
Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Muhajirin berharga RM5 juta di Sungai Koyan, Najib yang luluskan.
Jalan raya baharu menghubungkan Sungai Koyan ke Cameron Highlands dan Kuala Lipis? Najib juga.
Jalan raya baharu ke petempatan Orang Asli di Pos Betau? Beliau juga tetapi PH yang jadi kerajaan batalkan, kata Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.
Sayang Najib
Kasih rakyat di Sungai Koyan kepada Najib ternampak jelas sebaik beliau tiba dengan membonceng sebuah motosikal semalam.
Penduduk kampung menyerbunya untuk bergambar bersama. Beliau mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk berjalan dari pagar masuk dewan orang ramai ke pentas.
Anwar Ibrahim, bakal perdana menteri PH yang tiba untuk ceramah besar-besaran sehari sebelumnya, pun tidak disambut sehebat itu.
Di masjid, selepas solat Jumaat, pun sambutannya masih hangat. Jemaah berbaris untuk bersalam dengan Najib. Seorang menteri Kabinet di Putrajaya sekarang yang duduk di sebelah Najib hampir tidak disapa oleh jemaah.
“Dia macam kawan lama. Memang orang sini mesra dengan dia,” kata Abdul Rahim Md Said dari Felda Sungai Koyan 3, menjelaskan sambutan hangat yang diberikan penduduk kepada bekas perdana menteri itu.
Tiga kampung di Sungai Koyan mempunyai lebih kurang 2,800 pengundi. Ia jumlah yang signifikan kerana majoriti undi kemenangan BN dalam PRU14 lalu ialah 597 undi.
Zaman emas Felda di bawah BN
Satu lagi sebab Najib popular ialah kerana peneroka Felda terkenang akan hidup di bawah pentadbirannya berbanding sekarang, selepas PH mengambil alih kerajaan di Putrajaya pada Mei lalu.
“Hidup dalam Felda sekarang memang lain daripada sebelum PRU14. Macam Najib kata dalam ucapan dia,” kata peneroka dari Felda Sungai Koyan 2, Abdullah Maulud.
“Masa Najib dulu, pendapatan kita beribu, sebulan RM2,000 hingga RM3,000. Sekarang beberapa ratus saja. Bulan lepas saya dapat RM400 sahaja,” tambah Abdullah.
“Sekarang ini rasa terabai. Tak ada bantuan kerajaan. Tak ada bonus. Tak ada bantuan untuk anak sekolah,” katanya lagi.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan peruntukan khas RM77 juta untuk membantu peneroka Felda melunaskan hutang mereka.
Namun pengumuman itu dikritik oleh Najib.
“Kerajaan sekarang nak bayar elaun sara hidup pun lambat ini pulak nak bagi 77 juta. Sebelum PRU dia janji nak lupuskan setengah hutang peneroka. Tapi apa sudah jadi sekarang? Kita dah tak dengar dah janji ini.”
Najib juga disambut meriah semasa melawat perkampungan Orang Asli di Kampung Tanjung Gahai apabila lebih kurang 300 orang berhimpun untuk melihatnya dengan mata kepala sendiri.
“Banyak jasa najib kepada Orang Asli. Banyak perubahan yang kita rasa di sini. Rumah ada, jalan pun ada,” kata Salleh Batin Yai, 58 tahun.
Seorang lagi penduduk, Mohd Zin Razali, 50, berkata Najib masih macam itu juga sama seperti kali pertama beliau melihatnya bertahun-tahun dulu di sebuah ekspo pertanian.
“Kalau tengok pengalaman kali pertama dengan kita jumpa hari ini, itulah Najib. Memang dia mesra dan bukan pura-pura.” – 19 Januari, 2019.

Komen