SOKONGAN masyarakat Melayu di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands masih suam terhadap Pakatan Harapan (PH) walaupun gabungan itu menghantar enam menteri dan bakal perdana menteri ke ceramah terbesarnya setakat ini.
Penduduk Melayu kawasan Sg Koyan di Jelai dan aktivis PH berkata masih sukar untuk gabungan pemerintah untuk memenangi hati orang Melayu walaupun diberi perhatian sejak enam hari lalu.
Sebahagian besar 10,700 pengundi Melayu di kawasan Cameron Highlands berada di Sg Koyan yang menempatkan tiga penempatan Felda. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH hanya menang 9% undi di daerah mengundi kawasan itu.
Pengundi memberitahu The Malaysian Insight bahawa janji PH yang tidak tertunai menjadi salah satu alasan kenapa Melayu di Sg Koyan skeptikal terhadap kerajaan persekutuan baharu.
Satu lagi alasan yang akan menjejaskan undi PH dalam kalangan Melayu ialah ramai belia masyarakat itu terutama generasi kedua peneroka, enggan pulang mengundi.
“Daripada apa yang kawan-kawan kata, Sg Koyan akan masih dengan BN (Barisan Nasional),” kata peneroka generasi pertama Razali Salim, selepas selesai mendengar ceramah daripada Presiden PKR dan bakal perdana menteri Anwar Ibrahim.
Anwar antara 10 penceramah di ceramah perdana di Felda Sg Koyan I, yang terbesar sejak tempoh berkempen secara rasmi bermula pada Sabtu.
Turut bersamanya ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, menteri hal ehwal agama Dr Mujahid Yusof Rawa, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh.

Turut hadir di ceramah itu ialah timbalan Mujahid, Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Kerja Raya Annuar Tahir, penasihat DAP Lim Kit Siang, Adun Ketari Young Syefura Osman dan calon M. Manogaran.
Manogaran menentang calon BN Ramli Mohd Nor dan dua lagi calon bebas pada PRK yang akan berlangsung 26 Januari depan.
Terlalu banyak pusingan U
Mohamad Rawi, 65, dari Sg Koyan 1 menjangkakan ramai peneroka generasi kedua tidak akan mengundi minggu depan.
“Tidak ramai yang teruja hendak pulang dan mengundi. Orang merasakan PRK ini tidak akan mengubah apa-apa. Jadi mereka tidak balik. Orang yang akan mengundi ialah mereka yang tinggal menetap di sini,” katanya.
“Jika satu keluarga ada empat peneroka generasi kedua yang bekerja di bandar, saya fikir hanya seorang saja balik,” kata Mohamad, yang turut mendengar ceramah itu sekejap ketika dalam perjalanan pulang dari masjid berhampiran.
Seorang peneroka generasi kedua yang dikenali sebagai Amirul berkata hampir semua di Sg Koyan akan mengundi BN walaupun bekas kerajaan itu ada banyak salah.
“Kerajaan sekarang berani janji pada kami. Mereka banyak kali buat pusingan U tentang pelbagai perkara, jadi kenapa kami patut undi mereka,” katanya.
Irwan, pengundi dari Kuala Medang, satu lagi kawasan Melayu di Jelai berkata beliau dan rakan-rakannya akan terus mengundi BN.
“Kepimpinan PH datang ke Sg Koyan tidak akan mengubah apa-apa. Kami mengundi untuk BN sebelum ini dan akan mengundi mereka lagi,” katanya.
“Rakyat tidak mahu janji palsu daripada PH yang akan dilupakan sebaik saja mereka dipilih. Kerajaan BN tidak pernah buat janji seperti PH tetapi PH janji bulan dan bintang, kemudiannya tidak ditunaikan.”
Seorang pengundi, Saipul Izham, 25, bagaimanapun meramalkan ramai Melayu akan pilih PH.
“Pemimpin PH buat rakyat teruja. Saya ok dengan kerajaan terdahulu, tetapi saya fikir ramai yang akan pilih PH kerana kita nampak pemimpinnya.
“Akan ada perubahan yang kita akan lihat sebaik saja PH menang di sini. Saya harap kerajaan akan selesaikan hak peneroka dan dapatkan semula geran tanah kami,” katanya. – 18 Januari, 2019.
Komen