KERAJAAN mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM77 juta bagi peneroka Felda bagi membantu melunaskan bayaran tertunggak, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Katanya, bayaran kepada warga peneroka itu susulan arahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana Felda mengalami masalah aliran tunai yang kritikal tahun ini.
“Kementerian Kewangan mengambil perhatian serius ke atas masalah aliran tunai Felda yang sangat kritikal pada tahun 2018.
“Masalah ini telah mendapat keprihatinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengarahkan bantuan diberikan,” katanya.
Katanya peruntukan untuk 2018 itu termasuk bantuan sara hidup dan pendahuluan hasil tanaman berjumlah RM32,800,000 kepada 38,000 orang peneroka.
Jumlah paling besar disalurkan, sebanyak RM43 juta adalah untuk membantu peneroka melunaskan tunggakan bayaran untuk kerja pembangungan ladang kepada Felda Technoplant Sdn Bhd.
Selain itu, sejumlah RM1.2 juta akan diagihkan kepada waris 120 peneroka yang meninggal dunia dalam bentuk bayaran khairat kematian, kata Lim.
Peruntukan itu akan disalurkan melalui Kementerian Hal Ehwal Ekonomi selaku kementerian yang mengawal selia Felda, katanya.
Dr Mahathir pada awal bulan ini mengarahkan Lim menjalankan usaha segera untuk membantu golongan miskin dan daif menangani tekanan dari kenaikan kos sara hidup.
Tegasnya ia perlu dilakukan segera kerana golongan itu tidak mampu menunggu sehingga ekonomi dijangka pulih pada tahun hadapan.
Dr Mahathir menyatakan demikian sehari selepas perhimpunan besar-besaran oleh komuniti Melayu untuk membantah ICERD di Dataran Merdeka.
Penganalisis melihat kegelisahan masyarakat itu ke atas isu ekonomi dieksploitasi parti pembangkang Melayu-Islam PAS dan Umno dan membawa kepada perhimpunan besar itu.
Perhimpunan anjuran Gerakan Pembela Ummah dengan kerjasama pembangkang itu menyaksikan lebih 50,000 peserta berhimpun secara aman. – 20 Disember, 2018.
Komen