PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mengarahkan Menteri Kewangan Lim Guang Eng menjalankan usaha segera untuk membantu golongan miskin dan daif menangani tekanan dari kenaikan kos sara hidup.
Beliau berkata ia perlu dilakukan segera kerana golongan itu tidak mampu menunggu sehingga ekonomi dijangka pulih pada tahun hadapan.
“Saya yakin pada 2019 rakyat akan berasa lega, namun demikian bagi golongan miskin dan daif mereka tidak dapat menunggu.
“Mereka sekarang rasai tekanan kos sara hidup tinggi, kita janji memulihkan negara ini tapi bagi mereka belum ada maknanya.
“Sebab itu di khalayak ramai, depan semua orang ini, saya nak minta menteri kewangan dengan bermurah hati bantu puak miskin ini yang duit mereka dicuri kerajaan dulu,” katanya.
Dr Mahathir menyatakan demikian sehari selepas perhimpunan besar-besaran oleh komuniti Melayu semalam membantah ICERD di Dataran Merdeka.
Penganalisis melihat kegelisahan masyarakat itu ke atas isu ekonomi dieksploitasi parti pembangkang Melayu-Islam PAS dan Umno dan membawa kepada perhimpunan besar itu.
Perhimpunan anjuran Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dengan kerjasama pembangkang itu menyaksikan lebih 50,000 peserta berhimpun secara aman.
Dalam ucapan di majlis makan malam amal Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya, Dr Mahathir berkata kerajaan bagaimanapun hanya mampu memberi bantuan dengan dana yang sedikit.
“Dengan duit sikit ini kita akan bantu mereka kerana mereka tidak dapat tunggu sehingga pemulihan ekonomi negara membuahkan hasil kepada mereka.
“Inilah kerajaan PH yang selalu dengar suara rakyat, jika mereka tuntut dengan ikhlas kerajaan ini akan lajukan apa sahaja yang mungkin yang boleh menolong mereka,” kata ahli Parlimen Langkawi itu.
Dalam ucapannya, Dr Mahathir turut memberi bayangan tidak akan mengetuai gabungan parti kerajaan itu untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Bagaimanapun beliau yakin PH tetap akan memenangi PRU15 sekiranya mempunyai kerajaan ditadbir pemimpin yang bersih, amanah, dan tidak mengamalkan rasuah.
“Kalau kita kotor, perasuah, tidak peduli siapa pemimpin kita, kita akan dikalahkan rakyat,” katanya.
Beliau turut memberi ingatan agar tiada pemimpin PH yang berani menerima rasuah kerana ia lebih banyak mendatangkan kemudaratan berbanding kebaikan.
“Ini harus kita ingat sepanjang masa. Tiada kebaikan terima wang haram. Hanya ada banyak nikmat daripada penolakan amalan yang buruk yang dipandang keji dan berdosa ini,” katanya lagi. – 9 Disember, 2018.
Komen