Bekas kakitangan SPAD minta bantuan Cuepacs


Nabihah Hamid

Mereka berasa teraniaya kerana masih belum mendapat sebarang khabar berita selepas ditamatkan perkhidmatan pada tahun lalu. – 4 Januari, 2019.

LEBIH 200 bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) putus harapan kerana masih belum menerima tawaran untuk diserap masuk ke jabatan lain.

Mereka tiada tempat lain untuk bergantung dan hanya mampu mengadu kepada Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), kata seorang bekas kakitangan.

Beliau menerima satu emel menyatakan akan diserap masuk ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) namun masih lagi tidak mendengar sebarang khabar berita. 

“Kita sudah putus harapan, harap Cuepacs boleh bantu. Kita bukan tidak cari kerja. Saya cari dari Ogos, tak dapat. 

“Kita pula diberhentikan sebab kerajaan baharu tukar polisi. Kita yang jadi mangsa,” katanya yang enggan dinamakan ketika ditemui The Malaysian Insight.  

Mereka juga rasa teraniaya kerana masih belum mendapat sebarang khabar berita selepas ditamatkan perkhidmatan pada tahun lalu.

Difahamkan, bekas kakitangan yang masih belum diserap masuk ke agensi lain itu adalah daripada bidang perundangan, pelesenan dan pembangunan.  

Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada September berjanji memberi surat lantikan pekerjaan baharu menjelang 15 Disember lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2019.

Beberapa lagi bekas kakitangan memberitahu The Malaysian Insight wakil mereka akan turut hadir ke Wisma Cuepacs di Kuala Lumpur pagi ini untuk membuat aduan. 

“Kita faham kita bukanlah penjawat awam tetapi kita mahu cuba macam-macam saluran kerana seakan-akan dianiaya. 

“Saya sehingga kini tidak tahu di mana kedudukan saya. Diserap atau tidak, ramai yang seolah-olah putus harapan,” kata bekas kakitangan yang bekerja hampir lapan tahun di SPAD. 

Kumpulan bekas kakitangan terbabit pada Disember lalu menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan jaminan pekerjaan baharu.

Dalam memorandum itu, mereka mengungkit janji Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada September untuk memberi surat lantikan pekerjaan baharu menjelang 15 Disember. 

Namun kini sudah masuk 2019 dan nasib bekas kakitangan SPAD ini masih lagi tinggal tanda tanya. – 4 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen