BEKAS kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang masih menunggu penempatan tugas diberi jaminan yang kegusaran mereka akan diberi perhatian.
Jaminan itu diberikan oleh Kementerian Pengangkutan yang berkata mereka akan diberikan kerja, tetapi perlu menunggu sedikit masa lagi.
Menterinya Anthony Loke berkata kementerian itu tahu tentang nasib 132 bekas kakitangan SPAD yang masih belum menerima surat lantikan yang sepatutnya pada 15 Disember.
“Ia akan diuruskan. Kami akan maklumkan kepada mereka tidak lama lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan kakitangan meminta bantuan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad untuk mendapatkan mereka kerja baharu.
Mereka menghantar memorandum kepada Dr Mahathir, merayu supaya membantu menyelesaikan masalah mereka.
Kakitangan itu antara 967 staf yang diberhentikan selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih kuasa dan membubarkan SPAD. Namun, surat jaminan pelantikan pada 15 Disember masih belum diperoleh.
Pada 6 Jun, suruhanjaya itu dinamakan semula kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan. SPAD sebelum ini di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Beberapa kakitangan yang terjejas memberitahu The Malaysian Insight bahawa Loke pada satu mesyuarat pada September lalu berjanji yang mereka akan menerima surat masing-masing sebelum 15 Disember. – 20 Disember, 2018.
Komen