Inkues untuk siasatan menyeluruh kematian Adib, kata Zuraida


Nabihah Hamid

Waris Muhammad Adib Mohd Kassim menerima bantuan hasil daripada manfaat kebajikan daripada Jabatan melalui Koperasi, Kesatuan, Skim Insurans Kelompok dan Persatuan Kebajikan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Disember, 2018.

INKUES bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim adalah untuk meluaskan skop siasatan termasuk memanggil saksi baharu misalnya pakar yang merawat Adib, kata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). 

Menterinya Zuraida Kamarudin berkata ia juga bagi memastikan siasatan menyeluruh bagi memastikan keadilan terhadap Adib dapat ditegakkan. 

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah umumkan satu sesi inkues akan dijalankan dan pihak bomba dan saya sendiri berpuas hati untuk mengadakan inkues kerana ia memberikan lebih ruang untuk menyiasat mereka-mereka yang ada ketika insiden itu terjadi. 

“Dan (mengenalpasti) sebab-sebab kematian Adib, boleh juga bertanya pihak pakar forensik dan doktor yang merawat adib. Jadi ini kami alu-alukan. Ia juga beri ruang sekiranya ada bukti-bukti baru, saksi-saksi baru yang hendak tampil ke depan.

“Kita akan dapat ruang untuk (saksi) berikan maklumat dan kenyataan terhadap insiden,” katanya dalam satu sidang media selepas Majlis Penghargaan Wira Merah JBPM di Putrajaya hari ini. 

Mengulas mengenai bantahan beberapa NGO termasuk Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zuraida menjawab ia adalah keputusan yang telah dibuat KDN.

“Saya ingat itu adalah keputusan Kementerian Dalam Negeri selepas mengambil kira siasatan awal dan sebagainya jadi mereka fikirkan sewajarnya sebaiknya untuk adakan inkues. 

“Jadi kita biarkan, teruskan apa perolehan itu biar majistret yang buat pengumuman,” katanya. 

Inkues yang akan diadakan adalah untuk meluaskan skop siasatan termasuk memanggil saksi baharu dalam kes kematian Adib, kata Menteri Zuraida Kamaruddin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 Disember, 2018.

Persatuan Peguam Muslim Malaysia sebelum ini berkata bukan semua kes yang disiasat sebagai jenayah bunuh perlukan inkues sebelum pendakwaan dibuat.

Presidennya Zainul Rijal Abu Bakar menggesa polis segera menyelesaikan siasatan untuk diputuskan pendakwaan oleh peguam negara.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengumumkan peguam negara akan mengarahkan satu inkues dijalankan bagi menentukan punca kematian Adib.

Keputusan dibuat selepas siasatan polis menemui “dapatan tertentu” hasil rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan bedah siasat pihak forensik patalogi, yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

Muhyiddin menambah yang ​​​​​​dalam prosiding inkues ini, majistret akan mempunyai kuasa yang luas di bawah Seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian.

Ini katanya, termasuk mempertimbangkan bagaimana Adib menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan, atau dipercepatkan oleh, apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan orang lain.

Hari ini, waris Adib menerima jumlah bantuan sebanyak RM298,755 hasil daripada manfaat kebajikan daripada Jabatan melalui Koperasi, Kesatuan, Skim Insurans Kelompok dan Persatuan Kebajikan. 

Jumlah itu juga termasuk dengan derma tunai daripada KPKT dan Yayasan Eco World. – 28 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sudah mati baru mau buat inkues. Jangan jadikan korban tersebut suatu permainan politik .Kepada VVIP yang sebenarnya tahu kes ini , anggap orang Melayu mudah diperbodohkan (kita boleh dengar banyak bisikan orang "awam" warga Malaysia yang tidak kenang budi) jangan cuba cuba menimbulkan kemarahan orang Melayu .

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan