SATU inkues akan dijalankan bagi menyiasat punca sebenar kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, kata Muhyiddin Yassin.
Menteri Dalam Negeri itu berkata Peguam Negara Tommy Thomas telah berbincang dengannya mengenai perkara itu.
“Peguam negara telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau selaku pendakwa raya, dalam menjalankan kuasanya di bawah seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah akan mengarahkan majistret untuk membuat siasatan (inkues) bagi menentukan sebab kematian Allahyarham.
“Pihak pendakwa raya akan memohon kepada mahkamah supaya ditetapkan tarikh pendengaran dengan segera dan akan membantu majistret berkenaan dalam menjalankan inkues tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan yang disiarkan dalam Facebook hari ini.
Muhyiddin berkata dalam prosiding inkues ini, majistret akan mempunyai kuasa yang luas di bawah Seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian.
Ini katanya, termasuk mempertimbangkan bagaimana Adib menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan, atau dipercepatkan oleh, apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan orang lain.
Adib, 24, ahli perkhidmatan perubatan kecemasan di Balai Bomba Subang Jaya.
Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada 9.41 malam pada 17 Disember lalu selepas diserang ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, pada 27 November.
Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata punca kematian Adib akan hanya diketahui bulan depan sebaik saja laporan akhir siap.
Katanya, tempoh itu diperlukan bagi mendapatkan keputusan ujian darah Adib yang dikatakan perlu dilengkapkan untuk laporan itu.
“Biasanya ujian darah ambil masa sebulan. di AS, laporan kematian Whitney Houston dan Michael Jackson juga ambil masa lama.
“Ahli patologi tahu kecederaan yang menyebabkan kematian dan ujian darah akan melengkapkan laporan tersebut,” katanya. – 27 Disember, 2018.
Komen