Laporan punca kematian Adib diketahui sebulan lagi


UJIAN darah Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia selepas dipercayai dipukul dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield 27 November lepas akan diketuai dalam tempoh sebulan, lapor Sinar Harian. 

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata ujian itu diperlukan untuk melengkapkan siasatan kes tersebut.

“Ahli patologi tahu kecederaan yang menyebabkan kematian dan ujian darah akan melengkapkan laporan tersebut,” katanya dipetik portal itu. 

Adib, 24, daripada Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya cedera parah dipukul perusuh selepas diheret keluar daripada kenderaan bomba dinaikinya.

Beliau meninggal dunia pada 17 Disember, selepas 21 hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah dan dikebumikan di Kampung Tebengau, Kuala Kedah. 

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata polis akan mengeluarkan laporan lengkap forensik kes kematian Adib minggu lalu dalam beberapa hari lagi. 

Muhyiddin berkata beliau telah diberi taklimat berhubung laporan tersebut oleh Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun. – 26 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen