Laporan forensik Adib siap beberapa hari lagi, kata Muhyiddin


Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata beliau telah diberi taklimat berhubung laporan forensik kematian Muhammad Adib oleh Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2018.

POLIS akan mengeluarkan laporan lengkap forensik kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam beberapa hari lagi, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata beliau telah diberi taklimat berhubung laporan tersebut oleh Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan persekolahan kepada 550 murid dalam  program Jom Ke Sekolah 2019, peringkat Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di Muar hari ini, beliau berkata pihaknya akan mempertimbangkan kemungkinan untuk mengumumkan laporan kematian anggota bomba itu kepada umum mengikut keperluan dan kesesuaian.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan  Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dan beliau meninggal dunia pada 17 Dis.

Mengulas mengenai kenyataan penasihat DAP Lim Kit Siang bahawa pemimpin DAP, sama ada yang berada dalam kerajaan atau di luarnya akan meninggalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika objektif Malaysia Baharu dipinggirkan, Muhyiddin berkata beliau bersetuju dengan kenyataan tersebut.

“Yang penting sekarang bukan perasaan syak wasangka, tetapi semua parti komponen menentukan supaya matlamat Malaysia Baharu dapat dilaksanakan namun ia tidak dapat dilakukan dalam tempoh  hanya setahun.

“Kita nak buat Malaysia Baharu mungkin akan libatkan proses transformasi, refomasi, ubah sikap, bakiti ekonomi dan perbaiki hubungan antara kaum,” katanya. – Bernama, 21 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen