INKUES bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim tidak perlu, kata sebuah persatuan peguam, kerana ia hanya akan melengah-lengahkan keadilan kepada keluarga mangsa.
Persatuan Peguam Muslim Malaysia berpendapat bukan semua kes yang disiasat sebagai jenayah bunuh perlukan inkues sebelum pendakwaan dibuat.
Presidennya Zainul Rijal Abu Bakar menggesa polis segera menyelesaikan siasatan untuk diputuskan pendakwaan oleh peguam negara.
“Oleh kerana PDRM telah mengklasifikasi semula kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, adalah amat wajar PDRM menangkap semula dan mendapatkan tahanan reman kepada mereka yang sedang disiasat tersebut bagi mengelakkan proses undang-undang digagalkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zainul Rijal, sekiranya polis mendapati tiada kes melibatkan suspek yang ditahan sebelum ini, mereka perlu menjelaskan siasatan bagi memastikan ia telus.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin awal hari ini bahawa peguam negara mengarahkan satu inkues dijalankan bagi menentukan punca kematian Adib.
Menurut Muhyiddin, arahan itu dimaklumkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas kepada beliau selepas “penemuan dapatan tertentu” polis melalui rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.
Dalam pada itu, Zainul Rijal mendesak peguam negara menjelaskan kenapa inkues hendak dibuat dan kenapa tiada pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Kesiksaan atas jenayah bunuh.
“Masyarakat perlu tahu sama ada siasatan masih belum lengkap atau terdapat elemen lain yang boleh menjadikan pendakwaan gagal,” katanya.
Adib, 24, ahli perkhidmatan perubatan kecemasan di Balai Bomba Subang Jaya.
Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada 9.41 malam pada 17 Disember lalu selepas diserang ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, pada 27 November. – 27 Disember, 2018.
Komen