Kenali peraturan, undang-undang baharu 2019


Asila Jalil

Peraturan pertama yang mendapat perhatian umum adalah larangan merokok di restoran dan kedai makan oleh Kementerian Kesihatan berkuat kuasa 1 Januari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2018

BEBERAPA peraturan dan undang-undang baharu akan diperkenalkan serta dikuatkuasakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019.

Sesetengah daripada peraturan ini, seperti larangan merokok dan bayaran levi pelepasan terhadap mereka yang ke luar negara, menerima kritikan orang ramai, tetapi kerajaan tetap akan melaksanakannya.

Menjelang ketibaan tahun baharu, The Malaysian Insight mengambil peluang untuk meneliti undang-undang dan peraturan yang bakal diperkenalkan.

1. Larangan merokok dalam semua restoran dan kedai makan

Peraturan pertama yang mendapat perhatian umum adalah larangan merokok oleh Kementerian Kesihatan berkuat kuasa 1 Januari. Apabila larangan ini diumumkan, pengendali restoran membantahnya kerana perniagaan mereka bakal terjejas. Walaupun dikritik masyarakat, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad tegas mempertahankan larangan itu dan berkata beliau tidak akan berkompromi apabila melibatkan isu kesihatan rakyat.

Persatuan-persatuan restoran seperti Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA), Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) mengatakan perniagaan mereka akan terjejas kerana kehilangan pelanggan yang merokok.

Individu yang didapati merokok di kedai makan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun, manakala pengendali restoran yang tidak meletakkan tanda larangan merokok boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dipenjara sehingga enam bulan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye bagaimanapun baru-baru ini berkata perokok kini boleh merokok dengan jarak tiga meter dari premis.

Kadar gaji minimum sekarang adalah RM1,000 sebulan di Semenanjung dan RM920 sebulan di Sabah, Sarawak dan Labuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2018

2. Gaji minimum RM1,100

Bermula 1 Januari, gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,100 di seluruh negara. Gaji minimum ketika ini di Semenanjung Malaysia adalah RM1,000 dan RM920 di Sabah dan Sarawak.

PH sebelum ini menyatakan dalam manifestonya untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan. Ia merupakan perancangan selama lima tahun.

Sebelum gaji minimum RM1,100 ditetapkan pada Bajet 2019, Putrajaya sebelum ini mengesahkan gaji minimum di seluruh negara adalah RM1,050.

Persatuan pekerja kemudiannya mengadakan tunjuk perasaan aman di depan Parlimen untuk membantah gaji minimum RM1,050 dan meminta kerajaan menelitinya semula.

3. Cukai terhadap perkhidmatan import

Kerajaan juga akan mengenakan cukai perkhidmatan termasuk bagi perkhidmatan dalam talian bermula 1 Januari. Langkah ini bagi memastikan perkhidmatan tempatan seperti seni bina, teknologi maklumat dan reka bentuk grafik mendapat persaingan yang adil.

Bagi perkhidmatan import dalam talian, kerajaan akan mengenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan seperti perisian, video muzik atau pengiklanan digital. Pembekal perkhidmatan yang diimport juga dikehendaki mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Pengarah belanjawan Kementerian Kewangan Johan Mahmood Merican berkata pelaksanaan cukai terhadap perkhidmatan import dalam talian akan dilaksanakan secara berperingkat.

Kerajaan akan memperkenalkan satu duti eksais sebanyak 40 sen seliter bagi dua kategori minuman bergula bermula 1 April. – Gambar EPA, 30 Disember, 2018.

4. Duti eksais ke atas minuman bergula

Bagi menggalakkan cara hidup yang lebih sihat, kerajaan akan memperkenalkan satu duti eksais sebanyak 40 sen seliter bagi dua kategori minuman bergula bermula 1 April.

Kategori pertama termasuk minuman bergula atau pemanis berasaskan gula melebihi 5g per 100ml.

Kategori kedua adalah jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12g bagi setiap 100ml. 

Kerajaan akan memperkenalkan levi pelepasan bermula 1 Jun tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2018

5. Levi pelepasan

Levi pelepasan akan diperkenalkan pada 1 Jun 2019. Ia melibatkan bayaran RM20 bagi penumpang yang berlepas ke negara Asean dan RM40 bagi negara lain.

Putrajaya berkata kadar yang dicadangkan adalah konsisten dan tidak melebihi kadar yang dikenakan oleh negara lain seperti Thailand (AS$20), Hong Kong (AS$15) dan Jepun (AS$10). Putrajaya juga berkata levi itu bertujuan menggalakkan pelancongan domestik.

Bagaimanapun Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) menyelar idea tersebut dengan berkata bayaran levi akan menurunkan jumlah pelancong sebanyak 500,000 dan menyebabkan kerugian RM1.8 bilion.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini berkata kerajaan masih mengkaji mekanisme terbaik sebelum levi itu dikuatkuasakan. – 30 Disember, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kasut sekolah hitam tahun 2012 ke 2021?

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Viknesh Kumar · Ulasan