Boleh merokok 3 meter dari restoran, kata timbalan menteri


Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata pengusaha dan pemilik kedai makan dan restoran juga perlu menaikkan tanda larangan merokok selain tidak menyediakan kemudahan untuk merokok seperti bilik khas merokok dan bekas membuang puntung rokok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2018.

SUSULAN bantahan perokok dan pemilik restoran terhadap larangan merokok bermula di kedai makan dan restoran terbuka bermula Januari tahun depan, golongan itu kini dibenarkan merokok dengan jarak tiga meter dari lokasi larangan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata kelonggaran itu merupakan satu kompromi selepas kementerian tidak bersetuju dengan permintaan pemilik restoran untuk mewujudkan zon merokok di restoran mereka.

“Kita memaklumkan kepada pemilik restoran bahawa perokok masih boleh merokok asalkan mereka berada pada jarak 10 kaki (tiga meter) dari zon larangan merokok,” katanya seperti dilaporkan New Straits Times.

Beliau tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan zon merokok di kedai makan memandangkan idea itu bertentangan dengan Rangka Kerja Konvensyen Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Dunia.

Dr Lee berkata pengusaha dan pemilik kedai makan dan restoran juga perlu menaikkan tanda larangan merokok selain tidak menyediakan kemudahan untuk merokok seperti bilik khas merokok dan bekas membuang puntung rokok.

Katanya pengusaha kedai makan dan restoran boleh menghubungi talian ‘hotline’ kementerian yang beroperasi 24 jam untuk membuat aduan jika ada pelanggan yang mengingkari larangan itu.

Belia berkata pegawai kesihatan akan melakukan pemeriksaan di kedai makan bagi menguatkuasakan larangan itu.

Dr Lee berkata sehingga kini 63 siri taklimat dan penerangan berkenaan pewartaan larangan merokok sudah dijalankan dengan penyertaan 3,142 pemilik restoran.

Katanya kebanyakan mereka menyokong usaha kementerian untuk melindungi kesihatan awam.

Peraturan larangan merokok itu diwarta mengikut Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 bakal dikuatkuasakan Januari tahun depan yang mana mereka melanggarnya boleh di denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Bagi pengusaha kedai makan dan restoran yang gagal mematuhi peraturan itu boleh didenda melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen