KEPUTUSAN Nurul Izzah Anwar untuk melepaskan jawatan naib presiden dan pengerusi PKR Pulau Pinang hari ini mengejutkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.
Ketika diminta untuk mengulas tindakan Nurul Izzah itu, Dr Mahahthir berkata beliau tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.
“Apa dia? Oh, naib presiden.Tak ada (berita) dari PKR,” kata beliau.
“Saya tak tahu, tentu beliau ada alasan sendiri. Saya tak tahu apa-apa yang berlaku dalam PKR,” tambah perdana menteri, selepas forum di Cyberjaya hari ini.
Azmin juga berkata beliau juga tidak tahu mengenai pengumuman Nurul Izzah itu.
“Saya baru dapat tahu pagi tadi,” beliau memberitahu pemberita.
“Saya akan cuba bercakap dengan beliau dan tanya apa yang sebenarnya berlaku. Saya tak boleh komen apa-apa,” tambah Azmin.
Selain itu, Nurul Izzah juga berkata tidak lagi akan berkhidmat dengan kerajaan Persekutuan atas sebarang kapasiti.
Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatan sehari selepas menyatakan kekecewaan ke atas tindakan parti kerajaan menerima keahlian pemimpin Umno yang selama ini menyerang dan menghina keluarganya.
“(Ini) pengkhianatan ke atas mandat yang diberikan pada 9 Mei, penghinaan kepada mereka yang setia pada perjuangan,” coretnya di Twitter.
Beliau juga membangkitkan bahawa individu yang menyertai parti kerajaan tersebut bertanggungjawab menyerang mereka selama ini.
“Tiada makanya pada demokrasi jika Malaysia ditadbir oleh elit yang berasaskan politiking,” katanya lagi.
Pengumumannya itu juga tidak lama selepas ahli PKR, Latheefa Koya yang awal hari ini mengkritik tindakan Presiden Anwar Ibrahim melantik anaknya itu sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang. – 17 Disember, 2018.
Komen