Latheefa dakwa Anwar amal kronisme, nepotisme pilih pengerusi PKR negeri


Kecuali Sarawak dan Selangor, semua pengerusi negeri dikaitkan dengan Rafizi Ramli dipilih Anwar Ibrahim dan tak dapat sokongan majoriti ketua cabang, dakwa Latheefa Koya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2018.

PELANTIKAN pengerusi PKR negeri tidak telus dan nampak cenderung memihak kepada calon rapat dengan kumpulan dikaitkan dengan Rafizi Ramle, kata peguam dan ahli PKR Latheefa Koya.

Dalam satu kenyataan, peguam lantang bersuara itu mendakwa kecuali di Sarawak dan Selangor- yang diketuai Baru Bian dan Amirudin Shari- semua pengerusi negeri lain dilantik Presiden Anwar Ibrahim “diketahui rapat dengan salah satu kumpulan daripada dua pihak dalam PKR”.

“Mengapa ketidakseimbangan yang jelas memihak satu pihak tertentu? Pelantikan memihak kepada pihak tertentu setaraf dengan kronisme yang tidak boleh diterima dalam mana-mana parti perubahan,” katanya.

Rafizi mengetuai kumpulan pemimpin dan ahli parti untuk mencabar pasukan Timbalan Presiden Mohamad Azmin Ali pada pemilihan PKR baru-baru ini, tetapi gagal mendapat undi mencukupi untuk menjawat jawatan nombor dua itu.

Jawatan pengerusi negeri dianggap penting kerana mereka boleh menetapkan dasar dan melakukan rundingan dengan rakan sejawat dalam parti Pakatan Harapan di peringkat negeri.

Menurut Perlembagaan PKR, presiden perlu melantik pengerusi negeri selepas berbincang dengan ketua cabang yang dipilih akar umbi.

Anwar satu-satunya pemimpin yang mengetahui undi ketua cabang untuk memilih pengerusi negeri. Presiden juga tidak wajib menerima keputusan pengundian tersebut.

Latheefa mendakwa di Pahang dan Sabah, Fuziah Salleh dan Christina Liew yang dipilih selaku pengerusi tidak mendapat sokongan majoriti ketua cabang.

“Bagaimanapun selepas dipanggil bertemu presiden, ketua cabang mengubah sokongan. Mengapa mereka mengubah sokongan kepada pihak berbeza selepas bertemu presiden? Apa yang beliau katakan kepada mereka,” soal Latheefa.

Beliau mendakwa Anwar melantik pengerusi negeri berdasarkan sokongan mereka terhadap Rafizi, bukan kerana mereka mendapat sokongan majoriti ketua cabang.

“Walaupun presiden diberikan kuasa memilih pengerusi negeri (selepas) rundingan dengan ketua cabang, sangat luar biasa dan bertentangan dengan semangat perlembagaan parti untuk presiden mengabaikan kemahuan majoriti.

“Dalam organisasi perubahan dan demokratik, presiden parti tidak boleh begitu sahaja mengetepikan pandangan majoriti.”

Beliau turut mengecam pelantikan Nurul Izzah sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang, menyifatkannya sebagai “sangat tidak wajar dan membuka tuduhan nepotisme”.

“Tidak perlu dikatakan yang amalan melantik saudara terdekat ke dalam jawatan penting tidak ada tempat dalam parti perubahan.”

Latheefa berkata selepas “proses pemilihan parti yang penuh skandal dan memalukan”, pelantikan pengerusi negeri boleh terus menghakis keyakinan rakyat.

“PKR tidak boleh berkhutbah tentang demokrasi kepada negara, tetapi pada masa terus menguruskan parti berdasarkan pihak, dan mengabaikan prinsip norma demokratik.

“Mustahak untuk PKR menjelaskan kepada rakyat tentang pelantikan yang meragukan dan menganggu ini”. – 17 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen