SPRM perlu dedahkan siasatan di projek Taman Rimba Kiara, kata penduduk


Christopher Rabin

Seksyen 23 Akta SPRM boleh menyekat sebarang pembangunan di Taman Rimba Kiara sekiranya terbukti ada manfaat diterima Tengku Adnan Tengku Mansor dalam pemberian kontrak itu, kata jawatankuasa Selamatkan Taman Rimba Kiara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 Disember, 2018.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mendedahkan hasil siasatan dakwaan wujudnya konflik kepentingan melibatkan bekas menteri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam pemberian kontak pembangunan Taman Rimba Kiara kepada awam, kata persatuan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

“Setakat ini, SPRM sudah memberitahu (Ahli Parlimen Segambut) Hannah Yeoh yang siasatan sedang berjalan, tetapi itu sahajalah, tidak ada maklumat lanjut,” kata Penyelaras Selamatkan Taman Rimba Kiara Leon Koay.

Koay berkata terdapat beberapa laporan dibuat kepada SPRM terhadap Tengku Adnan iaitu pada Mei 2017 dilakukan penduduk, pada November 2017 oleh Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng dan pada Mei dan November tahun ini oleh Hannah sendiri.

“Kerana tiada perkembangan daripada SPRM, penduduk secara terbuka memohon kepada SPRM untuk memberikan perkembangan status siasatan pembangunan Taman Rimba Kiara kepada orang awam,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Koay mendakwa Seksyen 23 Akta SPRM boleh menyekat sebarang pembangunan di Taman Rimba Kiara sekiranya terbukti ada “manfaat” diterima Tengku Adnan dalam pemberian kontrak pembangunan itu.

“Secara asasnya Seksyen 23 menangani tindakan penjawat awam berkaitan habuan,” katanya.

“Berkaitan dengan situasi Taman Rimba Kiara, kami hanya perlu membuktikan wujudnya manfaat yang diperolehi.”

Penentang projek pembangunan itu mendakwa wujud konflik kepentingan kerana Tengku Adnan adalah pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), rakan usaha sama dengan Kumpulan Malton yang merupakan pemaju Taman Rimba Kiara.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad pada mulanya berkata kementerian akan menyemak semula kontrak cadangan pembangunan bangunan lapan blok mengandungi 42 dan 52 unit apartmen mewah dan 30 unit rumah mampu milik itu.

Bagaimanapun, pada 24 November lalu, Khalid berkata pembangunan kawasan itu adalah sah dan terpakai.

Koay, bagaimanapun bertegas yang taman itu tidak dimaktubkan untuk pembangunan padat komersial atau kediaman dan sebarang cadangan sebegitu tidak boleh dibenarkan berlaku. – 17 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen