Urusan pembangunan Taman Rimba Kiara adalah sah, kata menteri


Noel Achariam Christopher Rabin

Khalid Samad mengadakan pertemuan dengan lebih 500 penduduk TTDI berhubung kemelut pembangunan di Taman Rimba Kiara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 November, 2018.

DOKUMEN yang ditandatangani antara bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor dan pemaju yang terlibat dalam projek pembangunan Taman Rimba Kiara adalah sah.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata demikian kepada lebih 500 penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dalam satu pertemuan pada malam ini.

Katanya taman seluas 4.8 hektar telah dizonkan semula pada 2013 oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 2013 dan tanah itu dimohon oleh Yayasan Wilayah Persekutuan.

“Tanah itu dimiliki oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan akan dibangunkan. Mereka juga membayar premium tanah sebanyak RM60 juta untuk membangunkan kawasan itu.

“Perjanjian ini adalah rasmi dan sah. Pemaju sedia memberikan semula tanah itu tetapi kita perlu membayar sebanyak RM155 juta kepada mereka,” katanya.

Projek pembangunan itu melibatkan pembinaan beberapa buah kondominium.

Sejak lebih setahun lalu, penduduk TTDI membantah pembangunan di Taman Rimba Kiara dan turut mengadakan bantahan baru-baru ini.

Mereka berkata Khalid gagal menunaikan janji untuk merujuk rancangan itu kepada mereka sebelum diwartakan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 dan sepatutnya kawasan itu dijadikan sebagai  ruangan terbuka kepada orang ramai. 

Khalid berkata kawasan itu yang pernah dibuka kepada umum telah dizonkan semula dan menjadi lokasi pembangunan.

Sebahagian 500 penduduk TTDI yang menghadiri pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad dan DBKL berhubung isu pembangunan di Taman Rimba Kiara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 November, 2018.

“Secara teknikalnya, ia tidak salah kerana pada masa itu (2012) pelan itu tidak digazetkan.

“Ku Nan (Tengku Adnan) berkata beliau tidak mahu lokasi itu digazetkan kerana ia sudah ketingalan zaman.

“Pelan Struktur Kuala Lumpu 2012 tidak pernah digazetkan dan saya orang pertama melakukannya.”

Khalid berkata isu Taman Rimba Kiara turut mendapat perhatian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Beliau menghantar sepucuk surat untuk meminta penjelasan tentang isu ini. Saya membalasnya dengan memberi sebab dan rundingan masih diteruskan.”

Khalid berkata jika kes ini dibawa ke mahkamah sekali pun (ia tidak memberi makna) memandangkan arahan untuk pembangunan di kawasan itu telah ditandatangani.

“Tanah itu merupakan milik Yayasan Wilayah Persekutuan.

“Mereka boleh menyaman kita kerana telah mengeluarkan duit untuk membayar premium tanah, kos rundingan dan isu lain selain menanggung kerugian.

“Saya tidak boleh mengubah perkara lepas,” katanya.

Khalid berkata isu rasuah boleh berlaku menerusi dua cara iaitu pengezonan semula dan pertambahan kepadatan.

“Mereka (pemaju) melihat ruang terbuka dan menawarkan wang (kepada pihak berkuasa) untuk proses pengezonan semula.

“Mereka juga boleh mengubah nisbah plot. Ia boleh berlaku tetapi perlu melalui sistem persetujuan yang teliti.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata mereka akan menubuhkan jawatankuasa bersama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan persatuan penduduk bagi menyelesaikan isu tersebut. – 23 November, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen