MESYUARAT Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sudah membincangkan penyertaan bekas pemimpin dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) ke dalam parti gabungan itu, kata Muhyiddin Yassin.
Presiden Bersatu itu berkata peringatan supaya Majlis Presiden PH berbincang terlebih dahulu timbul sekarang, sehingga ada kenyataan bercanggah antara pimpinan, kerana wakil rakyat Umno keluar parti beramai-ramai minggu lalu.
“Di peringkat PH, sudah beberapa kali mengadakan mesyuarat, kita bincang perkara ini. Ada beberapa perkara yang perlu diambil kira oleh pimpinan dalam PH. Dulu pun sudah ada persetujuan.
“Cuma dengan trend terkini keluar parti secara besar-besaran jadi semua orang buka mata.
“Itu perkembangan yang baik cuma kita perlu teliti supaya tidak bercanggah dengan matlamat kita,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Bersatu Melaka di Stadium Hang Jebat, di Alor Gajah hari ini.
Muhyiddin mengulas kenyataan timbalan pengerusi DAP Gobind Singh Deo yang akan membawa isu penghijrahan tersebut ke mesyuarat Pakatan Harapan yang terdekat.
Gobind menegaskan dalam PRU14 yang lalu rakyat telah memberikan mandat kepada Pakatan Harapan dengan menolak Barisan Nasional dan ia perlu dihormati.
Katanya, keutamaan PH sekarang ialah melaksanakan agenda reformasi dan memulihkan negara.
Mengulas hal itu, Muhyiddin berkata, pimpinan PH juga perlu mengambil kira kedudukan parti yang tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sehingga sukar hendak melaksanakan agenda reformasi.
“Kedudukan parti kita pun belum kukuh, bukan sahaja Bersatu tetapi Pakatan Harapan di dalam Parlimen pun tidak mempunyai dua pertiga kerusi. Kita tidak cukup angka untuk pinda Perlembagaan,” katanya.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum itu berkata, isu majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat perlu ditangani dengan mendapatkan sokongan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.
Dalam pada itu Muhyiddin turut menegaskan Bersatu tidak akan menerima semua bekas pemimpin Umno dan ahli Parlimen Umno yang jelas telah ditolak oleh rakyat.
“Bersatu ada proses dan prosedur. Ada juga antara mereka itu awal-awal orang sudah tolak, jadi kalau dia berhajat untuk sertai Bersatu kita akan tolak juga. Kita tidak akan umum siapa,” ujarnya.
Sehingga kini, sudah 17 ahli Parlimen Umno bertindak keluar parti dan tiga daripadanya sudah diterima masuk menyertai Bersatu. – 16 Disember, 2018.
Komen