Pakatan mesti bincang kedudukan bekas wakil rakyat BN


PAKATAN Harapan (PH) mesti menghalusi dengan teliti penyertaan bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) ke dalam parti itu dan ia perlu dibincangkan dalam mesyuarat parti yang terdekat, kata timbalan pengerusi DAP Gobind Singh Deo.

Bagi DAP, tambah beliau, ia tidak akan sama sekali bekerjasama dengan Umno dan pendirian itu harga mati, tidak ada tawar-menawar.

“DAP tidak akan bekerjasama dengan Umno. Muktamad. Mereka telah pun menentang kami habis-habisan dalam PRU14.

“Kita telahpun meminta rakyat menolak mereka dan rakyat telahpun menolak mereka dengan hasrat membina Malaysia Baru. Kami tidak seharusnya sekarang kerjasama dengan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut Gobind, PH mesti hormat mandat rakyat, selain memberi keutamaan pada agenda reformasi dan pemulihan negara.

“PH perlu menjaga kepentingan rakyat yang telahpun meletakkan kepercayaan kepada PH untuk membersihkan dan menyelamatkan Malaysia.

“Perkara ini akan diangkat dan dibincangkan didalam mesyuarat PH dalam masa terdekat,” tambahnya.

Minggu lalu, Setiausaha Agung BN Nazri Aziz mengesahkan Umno berhasrat menjalin kerjasama politik dengan PKR dan DAP, demi kelangsungan parti itu selepas kalah pilihan raya 9 Mei lalu.

Katanya, idea kerjasama itu mandat daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sendiri dan beliau ditugaskan memberikan penjelasan dan mendapatkan sokongan daripada akar umbi di negeri-negeri.

Idea itu bagaimanapun dibantah kuat akar umbi Umno yang sebaliknya mendesak Zahid berundur kerana hendak bawa parti berbaik dengan DAP, seteru ketat parti Melayu itu sejak asal.

Desakan itu lebih kuat apabila semakin ramai ahli Parlimen Umno keluar parti untuk menyokong PH.

Minggu lalu, 11 lagi ahli Parlimen Umno keluar parti menjadikan semua sekali 17 setakat ini.

Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin, antara yang keluar Umno minggu lalu, berkata, akan ada “gelombang ketiga” 10 lagi ahli Parlimen parti itu menyeberang dalam masa terdekat. Beliau juga mendedahkan 33 ahli Parlimen Umno dan 3 komponen BN sudah berikrar setia pada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir minggu lalu berkata PH boleh terima bekas ahli parti komponen BN kerana “ada juga pemimpin Umno yang baik”.

Beberapa pemimpin parti komponen PH juga berkata mereka boleh terima wakil rakyat bekas Umno dengan syarat latar belakang mereka diteliti, dan penyertaan mereka bukan jaminan lepas tindakan undang-undang kalau terlibat rasuah dan pecah amanah.

Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar pula mendedahkan PH meletakkan tiga syarat kepada ahli Parlimen pembangkang yang mahu menyertai parti pemerintah: dedahkan semua dakwaan rasuah pemimpin Umno tanpa gentar, sokong Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar Ibrahim sebagai bakal penggantinya, dan ketiga, komited kepada agenda reformasi. – 16 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen