PAKATAN Harapan (PH) mesti mencapai konsensus dan memberi restu melalui Majlis Presiden sebelum pemimpin pembangkang boleh diterima menyertai mana-mana parti komponennya, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu berkata, ini bukan soal hak kebebasan ahli-ahli politik itu untuk berpersatuan tetapi penting untuk melindungi pilihan pengundi semasa pilihan raya umum 9 Mei lalu.
“Menerima mereka yang lompat parti secara membabi buta hanya memperlekehkan proses pilihan raya dan mengikis kredibiliti demokrasi kita,” katanya dalam satu kenyataan media.
Kenyataan beliau yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa senada dengan Timbalan Pengerusi DAP awal hari ini, Gobind Singh Deo yang mahu kedudukan bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dibincangkan dalam mesyuarat PH yang terdekat.
Nik Nazmi mengingatkan, PH ada jumlah wakil rakyat yang cukup untuk menguasai Parlimen dan sebarang isu yang melibatkan majoriti dua pertiga perlu ditangani dengan mendapatkan sokongan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.
Beliau juga mengingatkan era mengetepikan pembangkang dan penyokongnya seperti zaman BN dahulu sudah berakhir.
“Rakyat Malaysia mesti yakin bahawa kita bukan saja sebuah kerajaan baharu tetapi memerintah dengan cara yang baru.
“Kita perlukan pembangkang yang kuat bagi memastikan tragedi silam tidak berulang,” katanya.
Setakat minggu lalu, 17 ahli Parlimen Umno sudah meninggalkan parti itu untuk jadi sama ada wakil rakyat bebas atau menyertai komponen PH.
Tiga sudah diterima sebagai ahli Bersatu dan seorang masuk Parti Warisan Sabah.
Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin, antara yang keluar Umno minggu lalu, berkata, akan ada “gelombang ketiga” 10 lagi ahli Parlimen parti itu menyeberang dalam masa terdekat.
Beliau juga mendedahkan 33 ahli Parlimen Umno dan 3 komponen BN sudah berikrar setia pada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – 16 Disember, 2018.
Komen