Kuil Seafield kekal, tapi wang pampasan, tanah ganti tak nampak bayang


Christopher Rabin

Semua di bawah kawalan bekas pengerusi jawatankuasa kuil, K. Chellapa, kata pasukan petugas khas kuil Sri Maha Mariamman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2018.

DI atas kertas, isu Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield sudah selesai. Kuil dan tanahnya akan diamanahkan kepada tabung pemegang amanah ditadbir mahkamah.

Tetapi, isunya sekarang mengenai wang berjumlah RM1.5 juta dan sebidang tanah di USJ23, Subang Jaya yang diterima jawatankuasa kuil sebelum ini.

Pemaju dan kerajaan Selangor mahukannya kembali.

Dan pasukan petugas khas yang membantah pemindahan kuil tersebut tidak mempunyai kawalan ke atas wang pampasan dan tanah tersebut.

Ahli pasukan petugas khas Elangovan Annamalai berkata bekas pengerusi K Chellapa menerima wang dan hak tanah tersebut, bukan pasukan tindak khas.

“Pasukan petugas khas tiada kaitan dengan RM1.5 juta atau tanah di USJ 23 kerana urusan dilakukan oleh Chellapa.

“Mengikut Pendaftar Pertubuhan (RoS), Chellapa adalah pengerusi, dan dia (masih) mengawal kewangan kuil. Jadi, duit mungkin dimasukkan ke dalam akaun kuil,” kata Elangovan kepada The Malaysian Insight.

Beliau mendakwa mereka tidak pernah melihat duit pampasan dan hak milik tanah sejak pasukan itu dibentuk pada Jun tahun lepas. Pasukan petugas khas itu dibentuk untuk memastikan kuil tersebut tidak dipindahkan.

“Pasukan petugas khas tak pernah tengok duit itu, dan tiada hak atas tanah. Semua di bawah Chellapa. Sekarang pemaju mahu semula, jadi Chellapa kena pulangkan balik,” katanya.

Elangovan juga berkata urusan pemulangan semula pampasan itu adalah tanggungjawab Chellapa kerana ia adalah sebahaggian daripada penyelesaian berhubung tanah seluas 0.4 hektar itu yang dicadangkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas. Thomas mencadangkan supaya tanah kuil itu diserahkan kepada tabung amanah yang di bawah pentadbiran mahkamah.

“Kalau dia tak mahu pulangkan semula duit itu, pemaju patut saman.

“Kalau dia mengelakkan diri dari semua orang kerana sudah menggunakan duit itu, maka dia sekarang jutawanlah,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pengurusan kuil Sri Maha Mariamman Seafield harus mengembalikan tanah dan wang pampasan RM1.5 juta kepada kerajaan Selangor berdasarkan persetujuan penyelesaian yang dibuat oleh peguam negara. – 17 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen