Tanah kuil Seafield diberi kepada tabung amanah mahkamah


Tanah satu ekar yang jadi rebutan dan mencetuskan rusuhan akan diserahkan kepada tabung amanah diuruskan mahkamah, kata Jabatan Peguam Negara hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2018.

TANAH satu ekar kuil di Seafield yang menyebabkan rushan berlaku bulan lepas akan diserahkan kepada tabung amanah yang dibawah pentadbiran mahkamah, kata Jabatan Peguam Negara hari ini.

Pemaju One City Development Sdn Bhd yang terkait dengan kemelut pengambilan tanah itu berkata mereka menyokong penyelesaian menyeluruh untuk tanah yang kini menjadi miliknya.

Penyelesaian yang dicadangkan Peguam Negara Tommy Thomas melibatkan penyerahan sebidang tanah seluas satu hektar di mana kuil akan ditadbir oleh tabung amanah mahkamah, yang tertakluk kepada syarat yang dipersetujui oleh pihak-pihak yang terlibat

Thomas berkata langkah ini dicadangkan pada mesyuarat awal minggu ini bersama peguam mewakili pihak berkepentingan dalam pertikaian mengenai kuil tersebut.

Pihaknya akan memohon kepada Mahkamah Tinggi bagi membentuk sebuah amanah dan melantik pemegang amanah yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal kuil itu.

“Mahkamah Tinggi juga akan melantik seorang Penerima yang mempunyai reputasi baik dan boleh diterima kedua-dua pihak sebagai wakil mahkamah.”

“Pada masa yang sesuai, Mahkamah Tinggi akan memindahkan pemilikan tanah kepada pemegang amanah tersebut,” katanya.

Thomas berkata penyelesaian itu dicapai “dengan semangat konsensus dan saling bertimbang rasa” antara pihak-pihak terbabit, dan beliau sebagai Peguam Negara sedang berusaha untuk menjadi orang tengah susulan pertikaian itu bagi menjaga kepentingan awam berkenaan dengan tabung amanah kebajikan.

Bulan lalu, rusuhan berlaku sepanjang lebih dua malam di kawasan kuil tersebut selepas beberapa lelaki bertopeng menyerbu rumah ibadat tersebut dan mengarahkan penganut di kuil itu mengosongkannya.

Tindakan ganas itu menyaksikan beberapa harta awam dan kenderaan musnah di samping satu kecederaan yang mengancam nyawa seorang anggota bomba.

Pertikaian itu bermula daripada perselisihan antara anggota kepemimpinan kuil mengenai penempatan semula kuil tersebut di sebuah tempat lain yang diperuntukkan pemaju One City Developer yang merupakan pemilik tanah di mana kuil itu terletak.

Persetujuan bersama dicapai pada tahun 2014 apabila semua pihak bersetuju pelaksanaan penempatan semula itu, namun ia kemudian menjadi pertikaian sekali lagi.

Lebih 100 suspek ditahan oleh polis dan beberapa orang dihadapkan di mahkamah kerana merusuh dan menyebabkan kecederaan.

Sementara itu, One City Development mengucapkan terima kasih kepada Peguam Negara kerana bertindak untuk campur tangan bagai menyelesaikan perselisihan itu dan memanggil kesemua pihak untuk mengadakan resolusi. – 14 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen