MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari hari ini berkata pengurusan kuil Sri Maha Mariamman Seafield harus mengembalikan tanah dan wang pampasan RM1.5 juta kepada kerajaan Selangor berdasarkan persetujuan penyelesaian yang dibuat oleh peguam negara.
Dalam satu kenyataan, Amirudin berkata kerajaan Selangor mengalu-alukan penyelesaian yang dicadangkan peguam negara kerana ia berdasarkan undang-undang.
“Sehubungan dengan itu, kerajaan Selangor berpandangan bahawa tapak tanah 1 ekar dan wang pampasan berjumlah RM1.5 juta yang diberikan oleh pemaju haruslah dipulangkan semula sebagai sebahagian daripada penyelesaian yang dicadangkan oleh peguam negara,” katanya dalam kenyataan itu.
Kuil yang terletak di USJ25 berhampiran Subang Jaya, adalah lokasi kejadian rusuhan ganas pada 26 dan 27 November lalu berhubung pertikaian terhadap penempatan semula yang dicadangkan pemaju. Penganut yang berada di kuil diserang oleh sekumpulan lelaki dan beberapa kereta dibakar.
Berhubung penyelesaian yang dicadangkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas, One City akan memindahkan tanah seluar 0.4 hektar kepada pemegang amanah yang akan ditadbirkan oleh Mahkamah Tinggi.
Thomas berkuasa membuat penyelesaian itu mengikut Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956.
Peruntukan dalam Seksyen 9 itu akan membolehkan peguam negara menjadi satu pihak dalam pertikaian berkenaan.
Peruntukan itu antara lain memberi kuasa kepada peguam negara untuk memecat dan melantik pemegang amanah dalam lembaga pengurusan sesuatu harta.
Beliau juga berkuasa menganugerahkan sesuatu harta kepada pemegang amanah, mengarahkan siasatan dan memutuskan nisbah pembahagian sesuatu harta.
Dalam kenyataannya semalam, peguam negara menyatakan: “Mahkamah Tinggi juga akan melantik seorang Penerima yang mempunyai reputasi baik dan boleh diterima kedua-dua pihak sebagai wakil mahkamah.”
“Pada masa yang sesuai, Mahkamah Tinggi akan memindahkan pemilikan tanah kepada pemegang amanah tersebut,” katanya.
“Untuk memastikan kesaksamaan dan berkecuali di kalangan pelbagai kumpulan dalam kuil, peguam negara berharap dapat mewakili semua permohonan di hadapan Mahkamah Tinggi. – 15 Disember, 2018.
Komen