Selesaikan isu ketegangan kaum dahulu, kata Anwar


Nabihah Hamid

Presiden PKR Anwar Ibrahim kedudukan P Waytha Moorthy adalah bidang kuasa dan budi bicara perdana menteri.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 2 Disember, 2018

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim berkata, perkara yang paling penting kini adalah menyelesaikan isu kuil Sri Maha Mariamman agar tidak menimbulkan ketegangan kaum. 

Ahli Parlimen Port Dickson itu mengulas mengenai desakan NGO pendesak Melayu Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.

“Pada pandangan saya, kita cuba selesaikan masalah dulu dan menteri besar Selangor akan panggil semua pihak dan selesaikan dengan cara baik supaya tidak timbul sentimen kaum yang memanaskan keadaan. 

“Kedudukan menteri (Waytha Moorthy) itu bidang kuasa dan budi bicara perdana menteri,” kata Anwar pada sidang media selepas melancarkan buku ‘9 May 2018 Notes From The Frontline’ tulisan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad. 

Terdahulu hari ini, Presiden Perkasa Ibrahim Ali menggesa Dr Mahathir menggugurkan wakil India dalam jemaah menterinya serta menyifatkan mereka sudah “besar kepala” dan menggantikannya dengan wakil Melayu dalam Pakatan Harapan.

Katanya, menteri seperti Waytha Moorthy yang ada dalam barisan kabinet Dr Mahathir itu punca orang Melayu hari ini memandang serong kaum India yang selama ini mereka hormati.

“Kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Kerana Waytha Moorthy, rosak imej kaum India,” katanya semasa berucap pada perhimpunan agung tahunan Perkasa di Kuala Lumpur hari ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mempertahankan Waytha Moorthy dan berkata beliau berpuas hati dengan prestasi menteri berkenaan.

“Saya cakap dengan mereka, tidak ada kuliah, hanya cakap. Ya, mereka buat yang terbaik,” katanya yang juga pengerusi Bersatu itu, kepada pemberita selepas majlis bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MAA) di ibu negara Jumaat lalu. – 2 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen