PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahan dua anggota Kabinetnya yang dikritik oleh Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu, A Kadir Jasin.
Menurut Dr Mahathir, beliau puas hati dengan prestasi Menteri Pendidikan Maszlee Malik dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy.
“Saya cakap dengan mereka, tidak ada kuliah, hanya cakap. Ya, mereka buat yang terbaik,” kata Pengerusi Bersatu itu, kepada pemberita selepas majlis bersama Persatuan Perubatan Malaysia (MAA) di ibu negara, malam ini.
Kadir dalam blog miliknya, The Scribe sebelum ini mengkritik Waytha Moorthy, menteri yang yang bertanggungjawab ke atas perpaduan negara dan integrasi nasional namun menurutnya gagal membantu mengukuhkannya.
“Tindak-tanduk beliau dalam peristiwa keganasan di kuil Sri Maha Mariamman rasanya tidak membantu mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional,” tulis Kadir dalam blog berkenaan.
Kadir yang juga penasihat media dan komunikasi Pejabat Perdana Menteri turut mengkritik Maszlee yang menurutnya menjadikan sekolah kebangsaan seperti sekolah agama.
Menurutnya, Maszlee juga turut “dikuliahkan” Dr Mahathir dengan kenyataannya itu.
“Takkan menteri yang cerdik macam Maszlee tak tahu bahawa banyak ibu bapa bukan Melayu tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana sekolah kebangsaan sudah jadi macam sekolah agama,” kata Kadir. – 30 November, 2018
Komen