PRESIDEN Perkasa Ibrahim Ali menggesa Dr Mahathir menggugurkan wakil India dalam jemaah menterinya kerana mereka sudah “besar kepala” dan menggantikannya dengan wakil Melayu dalam Pakatan Harapan.
Katanya, menteri seperti P Waytha Moorthy yang ada dalam barisan kabinet Dr Mahathir itu punca orang Melayu hari ini memandang serong kaum India yang selama ini mereka hormati.
“Kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Kerana Waytha Moorthy, rosak imej kaum India,” katanya semasa berucap pada perhimpunan agung tahunan Perkasa di Kuala Lumpur hari ini.
Pada sidang media kemudian, Ibrahim menjelaskan beliau mahu Dr Mahathir menggugurkan Waytha Moorthy kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menggugat hubungan antara kaum.
“Sekarang jangan sampai kita buka langkah, sebab itu kita mendesak lebih baik Waytha Moorthy ini digugur daripada Kabinet dan saya desak dikaji kuota kaum Hindu dalam kabinet,” kata Ibrahim.
“Maruah tak boleh dijual. Saya nak isytiharkan Waytha Moorthy kita panggil menteri celaka di Jabatan Perdana Menteri.
“Kalau Dr Mahathir betul tegas, seperti mana saya kenal beliau dulu waktu jadi perdana menteri keempat, berapa lama Dr Mahathir nak simpan Waytha Moothy,” tambahnya

Kelmarin, Dr Mahathir berkata beliau puas hati dengan prestasi menteri kabinetnya termasuk Waytha Moorty walaupun mengaku ada “bercakap biasa” dengan menterinya itu.
“Lantik orang Melayu Pakatan Harapan. Ramai antara mereka yang berkebolehan. Kerajaan sudah beri mereka ruang yang terlalu banyak dan kini mereka semakin besar kepala.
“Bagaimana nak mengajar orang berkepala besar? Anda akan lihat nanti,” kata Ibrahim kepada wartawan, selepas majlis yang dinamakan Himpunan Jihad Perkasa itu.
Dalam ucapannya sebelum itu Ibrahim berkata Perkasa sudah hilang sabar dan akan bergerak ke seluruh negara menjelaskan perjuangan mereka mempertahankan kedaulatan Melayu dan Islam.
“Zaman retorik sudah berakhir. Zaman bersyarah sudah berakhir. Perkasa rasa Melayu sudah hilang sabar. Kesabaran dan tolak ansur sudah berakhir. Ini mesej pusingan pertama. Perkasa tidak diam diri lagi.
“Tindakan kita adalah Perkasa akan mula mengamuk di seluruh negara. Sudah sampai masa Melayu tunjuk sikap patriotik.
“Jangan Melayu sahaja yang perlu patuh kepada undang-undang tapi bangsa lain buat ikut suka hati mereka,” katanya.

Ibrahim menjelaskan, amuk yang beliau maksudkan ialah perjuangan menegakkan kebenaran melalui saluran berlandaskan undang-undang dan bukannya tindakan keganasan.
“Mengamuk ini ertinya orang Melayu tidak akan duduk diam. Kita akan bersuara. Kita akan buat macam-macam tuntutan. Kita desak. Kita berhimpun. Kita buatlah macam-macam.
“Jangan fikir mengamuk dalam erti kata yang singkat. Saya orang yang menghormati undang-undang… bila saya kata mengamuk kita akan ambil tindakan. Tindakannya, tengoklah nanti.
“Kalau tindakan kita salah di sisi undang-undang menjadi tanggungjawab polis untuk tangkap kita. Kalau kita tidak buat sesuatu yang salah di sisi undang-undang tidak menjadi masalah,” kata Ibrahim. – 2 Disember, 2018.
Komen