Skuad Badar sedia buka cawangan satu Malaysia


Zaim Ibrahim

Pengerusi Skuad Badar Azhaar Mohamad berkata pihaknya bersedia meluaskan cawangan dan operasinya ke seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2018.

SKUAD Badar, badan sukarela cegah maksiat termasuk khalwat di Sungai Petani, Kedah, bersedia meluaskan cawangan dan operasinya ke seluruh negara jika pihak berkuasa masih lemah dalam menguatkuasakan undang-undang moral ke atas Muslim.

Pengerusinya, Azhaar Mohamad berkata pihaknya akan mengambil langkah itu jika pihak berwajib masih gagal mewujudkan undang-undang kecil mencegah orang Islam bukan muhrim menginap bersama di hotel dan membiarkan rumah urut bercambah.

Beliau memberi amaran sedia membuat operasi cegah maksiat sampai ke Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

“Kami mohon pihak berwajib wujudkan undang-undang kecil terhadap premis hotel, agar mengharamkan kepada orang Islam masuk ke hotel bajet dan rumah urut untuk melakukan maksiat,” katanya pada sidang media di Sungai Petani, Kedah.

“Jika tiada undang-undang kecil, Skuad Badar akan terus mencegah maksiat bukan saja di Sungai Petani tetapi kami akan buka cawangan satu Malaysia, terutama sekali di Bukit Bintang yang banyak kemaksiatan berlaku,” katanya.

Skuad Badar setakat ini beroperasi di Sungai Petani sejak dua tahun lalu, menyerbu antaranya hotel murah di bandar itu mencari pasangan Muslim berkhalwat, selain memeriksa rumah kediaman sekiranya ada aduan orang ramai.

Azhaar mendakwa operasi itu mendapat restu pihak polis dan pihak berkuasa agama negeri kerana mereka memaklumkan pihak polis sebelum operasi dan memaklumkan juga pihak Jaik hasil operasi.

Polis bagaimanapun menegaskan laporan yang dibuat sebelum operasi itu bukan satu kebenaran.

Pihak berkuasa juga menganggap operasi Skuad Badar “keterlaluan”, antara lain kerana tidak mengikut lunas undang-undang.

Menjawab dakwaan itu, Azhaar menjelaskan operasi pihaknya bukan keterlaluan sebaliknya ingin menyelamatkan masyarakat Islam daripada terus bergelumang maksiat.

“Pihak hotel (di Sungai Petani) maklumkan pejabat agama datang (untuk operasi) setahun dua kali, tetapi kami seminggu empat kali.

“Kami ingin membantu pihak berkuasa tempatan, membantu pihak pejabat agama bahagian penguatkuasa sebab ia berkaitan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Azhaar berkata pihaknya sedia bertemu dengan mana-mana pihak yang menganggap operasi Skuad Badar sebagai keterlaluan, untuk memberikan penjelasan.

“Bawa mereka (pesalah khalwat) ke kubur tidak keterlaluan, kerana sudah maklum kepada ibu bapa. Skuad Badar sedia berhujah dan diskusi dengan mana-mana NGO, menteri, exco agama atau mana-mana VIP yang tuduh kami keterlaluan,” katanya.

Operasi cegah maksiat Skuad Badar turut mengundang pelbagai reaksi kerana mereka membawa pasangan yang ditangkap ke tanah perkuburan untuk ditarbiah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, apa-apa penguatkuasaan agama mesti dilaksanakan selari dengan peruntukan undang-undang.

Kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty turut beranggapan, operasi mereka tidak ada ciri-ciri Islam kerana melanggar ruang peribadi individu, kata pengarah eksekutifnya, Latheefa Koya. – 22 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen