Sistem e-undi adalah pilihan terbaik, kata ketua IT PKR


Chan Kok Leong

Pemilihan PKR tahun ini mempunyai 15,000 calon dan melibatkan lebih 400,000 ahli, jika sistem undi kertas digunakan ia akan mengambil masa berminggu untuk keputusan dikeluarkan, kata Ketua Data dan Sistem PKR Alvin Teoh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 22 November, 2018.

WALAUPUN berdepan pelbagai masalah dan kemungkinan wujudnya sabotaj capaian internet, e-pengundian adalah kaedah terbaik untuk pemilihan parti yang melibatkan lebih 15,000 calon, kata pakar IT PKR Alvin Teoh yang menyelia sistem pengundian pemilihan dalam talian parti itu.

Ia juga adalah sistem paling selamat dan cekap untuk parti yang membenarkan semua ahli yang layak mengundi, kata Teoh yang sebelum ini ditahan dan disiasat kerana didakwa mensabotaj peranti yang digunakan dalam pemilihan baru-baru ini.

“Dalam pemilihan yang mempunyai lebih daripada 15,000 calon dan 841,000 ahli, ini (e-undi) adalah lebih cekap,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui selepas Kongres PKR hujung minggu lepas di mana senarai muktamad pemenang diumumkan.

Teoh adalah kakitangan PKR sepenuh masa yang juga ahli Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan merupakan tulang belakang pakar IT yang menyelia sistem e-undi itu.

Teoh sedang merancang mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya daripada dakwaan sabotaj pengundian Cabang Julau, Sarawak, berkata, sekiranya parti menggunakan sistem pengundian manual kertas, proses pengiraan undi akan mengambil masa berminggu lamanya.

“Walaupun hanya ada dua calon untuk timbalan presiden dan 12 calon untuk naib presiden, terdapat 88 calon untuk 20 jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Ditambah dengan sayap Wanita, Pemuda, cabang dan cawangan, ia (pemilihan) sangat besar,” kata Teoh lagi.

Pakar IT berusia 44 tahun itu juga menepis dakwaan yang keputusan mungkin boleh “digodam”.

“Kami ada pakar keselamatan siber yang sangat bagus yang membantu mereka bentuk sistem tersebut.”

Sistem e-undi yang digunakan adalah bagi memenuhi keperluan calon, ahli serta semangat demokratik PKR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2018.

Menjelaskan proses pengundian, Teoh berkata ahli yang tiba di pusat pengundian akan diminta memberikan MyKad mereka kepada pegawai pemilihan yang kemudiannya mengesahkan keahlian menggunakan pembaca kad.

Pengundi kemudiannya akan diberikan cetakan kod QR. Kod itu akan disahkan oleh tablet yang membawa pengundi ke halaman pengundian.

“Selepas mengundi, ahli akan menekan ‘hantar’ dan keputusan akan serta merta didaftarkan dan dihantar ke server kami yang mengira keputusan.

“Tidak ada masa dan ruang untuk keputusan digodam,” katanya.

Tetapi walaupun sistem itu adalah “kebal-godaman”, Teoh berkata JPP tidak menjangkakan penggunaan “jammer” untuk mengganggu capaian internet, seperti yang berlaku di Kuala Selangor dan aplikasi “Prey” yang ditemui dalam tablet di Julau.

“Jammer memang ada menganggu proses walaupun ia tidak mengubah keputusan. Ia hanya mewujudkan keraguan ke atas integriti sistem.

“Aplikasi ‘Prey’ pula, sama juga, digunakan untuk matlamat sama,” tambahnya.

Satu lagi masalah kata Teoh, adalah JPP tidak menjangka terdapat peningkatan mendadak keahilan yang meragukan di sesetengah cabang.

“Tetapi daftar keahlian bukan bawah bidang kuasa kami dan kami menggunakan apa yang diberikan parti kepada kami.”

Teoh juga menolak dakwaan “undi hilang” seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Kami mendapati di sebilangan cabang, ahli hanya berminat mengundi pemimpin cabang mereka atau mereka tak tahu calon untuk jawatan nasional dan tidak mengundi untuk mereka (jawatan nasional).

“Kerana itu, terdapat jurang antara jumlah pengundi dan jumlah undi,” katanya.

Sistem e-undi ada kelemahan, tetapi ia yang terbaik dalam persekitaran PKR sekarang, kata Alvin Teoh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 22 November, 2018.

Satu cara untuk mengatasi masalah ini, kata Teoh, adalah mewajibkan ahli mengundi semua jawatan.

Mengenai tambah baik kepada sistem e-undi, Teoh berkata ini boleh dilakukan dengan meningkatkan tahap keselamatan tablet yang digunakan dan mendapatkan khidmat pihak ketiga atau pemantau pemilihan.

“Dengan pemantau pemilihan, pertikaian akan berkurangan dan mengurangkan keraguan calon terhadap proses dan keputusan,” kata Teoh.

Walaupun pemilihan kali ini kelam kabut, Teoh berkata beliau masih berbangga dengan pencapaian pemilihan PKR tahun ini.

“Kita adalah parti pertama negara ini yang ada pemilihan yang menyaksikan penglibatan lebih daripada 140,000 ahli di seluruh negara. Dan yang pertama guna e-undi.

“Ada kelemahan tetapi ia bukanlah sesuatu yang kita tidak boleh atasi sebelum pemilihan parti akan datang.” – 22November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen